Menteri, Vui Keong memberitahu beliau hanya menari untuk satu lagu sahaja |
Majlis tarian twist melibatkan Menteri Undang-Undang, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Siti Kasim itu bukanlah majlis sukaria.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong tampil memberi penjelasan berhubung penularan sebuah video memperlihatkan dirinya bersama beberapa individu penting institusi perundangan negara menari yang tular dalam laman media sosial sejak semalam.
Vui Keong menjelaskan, program tersebut merupakan anjuran Persatuan Undang-Undang Sabah yang turut dihadiri semua anggota badan kehakiman dan peguam seluruh negara sempena Majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019.
Sebuah klip video berdurasi seminit 37 saat memperlihatkan Malanjum dan Tommy menari twist mengikuti rentak irama sebuah lagu Inggeris, Let’s Twist Again telah tersebar.
Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari-nari dalam majlis yang dipercayai dihadiri oleh para pengamal undang-undang itu ialah Vui Keong serta peguam-peguam kontroversi seperti Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.
Sambil mengakui beliau menari bersama beberapa individu penting badan perundangan negara, Vui Keong memberitahu beliau hanya menari untuk satu lagu sahaja selepas dijemput penganjur ke atas pentas.
Ketika ditanya berhubung tindakannya yang telah dikritik pelbagai pihak termasuk kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE