6 Rabiulakhir 1440H, Jumaat– UMNO tidak perlu menjual maruah dengan mengambil jalan pintas dan tergesa-gesa untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ketua Pemuda UMNO itu mendesak pihak tertentu dalam kepimpinan parti supaya menghentikan segera sebarang usaha rundingan dengan proksi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, selagi usaha seumpama itu wujud, UMNO akan terus dilihat sebagai tiada hala tuju dan bakal berpecah.
“Lebih membimbangkan sekiranya berjaya sekali pun perundingan dengan mana-mana pihak, UMNO akan dihukum lebih dasyat oleh rakyat dalam PRU akan datang, kerana dilihat tidak berprinsip dan UMNO dinilai sebagai parti bermatlamatkan kuasa semata-mata.
“Mungkin ada baiknya untuk UMNO belajar daripada daya tahan PAS yang kekal utuh dengan prinsip perjuangan walaupun lebih 60 tahun menjadi pembangkang. Sedangkan UMNO baru sahaja 7 bulan sudah berantakkan dan begitu goyah berhadapan tekanan,” katanya.
Rabu lalu, UMNO menerima tamparan apabila keseluruhan jawatankuasa perhubungan Sabah, termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua bahagian keluar daripada parti itu.
Semalam, ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO mengumumkan penyertaan beliau dalam Bersatu.
Baru-baru ini, tular pula foto menunjukkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu Dr Mahathir, dipercayai pada 22 Oktober lalu.
Foto tersebar itu menunjukkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Tan Sri Noh Omar; Datuk Seri Shahidan Kassim; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Asyraf berkata, fenomena keluar parti dalam kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO kebelakangan ini perlu diberi perhatian serius oleh pucuk pimpinan.
“Rata-rata yang keluar parti memberikan alasan hilang kepercayaan kepada kepimpinan dan kabur terhadap hala tuju parti.
“Buat yang meninggalkan parti, ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendukung anda hingga ke puncak. Moga kali kecapi apa yang dihajati,” katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO fokus terhadap usaha pengislahan dan pemerkasaan parti untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat, selain ejen semak dan imbang yang berkesan kepada kerajaan.
“Ini bermakna UMNO harus bermula dengan proses muhasabah dengan menginsafi segala kesilapan dan salah laku kita terdahulu sekaligus memohon maaf kepada rakyat atas segala keterlanjuran.
“Hakikatnya, rakyat bukan menolak perjuangan kita. Kekalahan kita berpunca daripada pelbagai imej negatif yang berjaya dipahat dalam minda rakyat mengaitkan UMNO dengan sikap angkuh dan bongkak lantaran terjebak dalam segala bentuk penyelewengan, korupsi dan masalah integriti,” katanya. - Ismaweb