KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan parti itu hanya menerima bekas ahli UMNO yang ‘baik’ dan menolak mereka yang ‘jahat’.
Jelas Pengerusi Bersatu itu, beliau sendiri dulunya merupakan ahli Umno namun PH menerimanya malah Veteran DAP, Lim Kit Siang turut menerimanya.
“Orang yang baik pun ada dalam UMNO, yang jahat pun ada. Yang jahat kita tidak terima, yang baik kita terima. Saya sendiri dulu pun ahli UMNO, mereka (PH) terima saya.
“Kit Siang terima saya. Ini buka pasal ahli, tapi pasal apa kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Muzium Kesenian Islam, di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kritikan DAP dan PKR terhadapnya yang memutuskan menerima bekas ahli UMNO.
Semalam, enam lagi Ahli Parlimen UMNO telah mengisytihar mereka keluar daripada parti yang pernah memerintah negara selama 61 tahun itu.
Mereka adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam perkembangan sama ketika ditanya adakah semua bekas pemimpin UMNO yang mengumumkan keluar parti itu terutamanya di Sabah akan terus diterima menyertai Bersatu, jelas Dr. Mahathir ada syarat yang perlu dipatuhi.
“Masuk Bersatu ada syaratnya, mereka (bekas pemimpin UMNO) kena jadi wakil Bebas terlebih dahulu dan perlu sokong kerajaan.
“Selepas itu kita akan buat penilaian seorang demi seorang barulah boleh diterima masuk Bersatu,” jelasnya. - K! ONLINE #CelahGelegar