ALOR SETAR 15 Dis. - Pertembungan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perebutan jawatan Perdana Menteri dijangka bermula selepas menyaksikan tindakan beramai-ramai pemimpin UMNO keluar parti.
Pemimpin-pemimpin UMNO itu dijangka bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membantu menguatkan parti dan pengaruh Dr. Mahathir yang sudah pastinya memerlukan sokongan yang kuat.
Bagi seorang penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar, beliau melihat kem Anwar juga tidak akan berdiam diri dan berkemungkinan melakukan langkah sama bagi memastikan hasrat Presiden PKR itu sejak sekian lama menjadi Perdana Menteri dapat direalisasikan.
Malah pemimpin-pemimpin PKR dan DAP itu juga sudah mula bersuara mengenai tindakan pemimpin UMNO keluar parti ini.
Sehubungan itu, Rusdi tidak menolak kemungkinan akan berlaku pergolakan dalam Pakatan Harapan selepas ini.
“Pertembungan Dr. Mahathir dan Anwar sudah bermula. Siapa yang kuat maka dia boleh jadi Perdana Menteri nanti. Masing-masing mempunyai percaturan dan percaturan siapa lebih berkesan, dia akan berjaya.
“Anwar juga terpaksa ambil langkah yang sama mungkin pasukan beliau akan cuba tarik Ahli Parlimen UMNO yang tak bersama Dr. Mahathir dan mungkin juga mereka tarik Ahli Parlimen Pas untuk bersama PKR.
“Melihat kepada sejarah, pertembungan kedua-dua tokoh politik ini, sentiasa menarik perhatian. Kita tunggu dan lihat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata, UMNO perlu segera mengadakan perhimpunan agung luar biasa dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian mengenai tindakan beramai-ramai wakil rakyatnya keluar parti.
Dalam masa sama, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga perlu segera berundur apabila dilihat gagal mengawal keadaaan selain gagal menyatukan wakil-wakil rakyat parti itu sehingga mereka bertindak meninggalkan UMNO.
“Saya percaya jika masalah ini tidak ditangani dengan baik, akan ada lebih ramai wakil rakyat UMNO keluar parti. Individu paling sesuai memimpin UMNO pada masa ini ialah, Datuk Seri Mohamad Hasan yang disifatkan bersih dan dihormati pemimpin dan akar umbi parti,” katanya.- UTUSAN ONLINE #CelahGelegar