PAS sekali lagi menafikan rundingan kerjasama dengan PKR.
Ketua penerangannya Nasruddin Hassan berkata masih tidak ada rundingan rasmi kedua-dua parti yang tercetus selepas Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali menziarahi Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.
“Sehingga hari ini tidak ada rundingan rasmi PAS dan PKR, yang ada pun apa yang berlaku bersifat pertemuan dan ziarah.
“Apa yang saudara lihat tempoh hari, timbalan presiden PKR dan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah ziarah presiden PAS selepas pembedahan jantung, ia ziarah biasa.
“Kalau berkait politik, atau PRU tak ada, kami ada keputusan dan ketetapan yang diputuskan oleh PAS pusat yang kita tak ada hubungan dengan DAP, PKR dan Pakatan Harapan.
“Soal pihak mereka nak anggap pertemuan tersebut sebagai apa terpulang pada mereka, pada kita tak ada hubungan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.
Nasruddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ziarah yang dilakukan oleh pimpinan PKR serta perkara itu membangkitkan perbincangan hangat di kalangan pemimpin HARAPAN.