KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menafikan dakwaan menjadi dalang di sebalik tindakan ramai wakil rakyat dan pemimpin kanan UMNO keluar parti.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, semua dakwaan terhadapnya terutama membabitkan parti itu, adalah tidak benar.
“Terdapat banyak dakwaan terhadap saya membabitkan UMNO sejak enam bulan lalu dan semuanya terbukti tidak benar.
“Mengenai perkembangan terkini di Sabah, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terbabit dalam apa-apa cara sehingga menyebabkan mereka keluar parti,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya hari ini.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan Hishammuddin menjadi dalang yang menyebabkan beberapa wakil rakyat UMNO berpaling tadah dan keluar daripada parti itu.
Portal yang memetik sumber itu berkata, kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di akaun Twitter rasminya yang menyatakan ada ‘bangsawan’ yang mendorong kepada tindakan mereka keluar parti, adalah merujuk kepada Hishammuddin.
Khairy sebelum itu ditanya oleh seorang pengguna Twitter mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti.
“Dah cuba tapi ada ‘bangsawan’ yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai,” balas Khairy di laman sosial itu.
Selain Hishammuddin, terdapat juga dakwaan kononnya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim menjadi ejen membawa wakil rakyat parti itu melompat parti.
Razali, ketika dihubungi berkata, pergolakan politik yang berlaku sepatutnya ditangani dengan mencari penyelesaian kepada kenapa ia berlaku, bukan mencari salah sesiapa.
“Masalah ini, kita patut tangani, saya tak mahu menyumbang kepada masalah yang lain,” katanya.
Ditanya dakwaan mengaitkan nama beliau yang dikatakan menjadi antara ejen yang terbabit dengan isu lompat parti yang berlaku kebelakangan ini termasuk di Sabah.
“Isu ini perlu ditangani, kenapa sibuk nak melaga-lagakan sesama sendiri. Siapa sumber tu? (dakwa jadi ejen lompat parti). Kalau ada sumber yang beritahu, tanya sumber itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hanya menjawab tidak tahu mengenai perkara terbabit.