Diketepikan Kerusi Parlimen, Perjumpaan Amanah Wilayah Persekutuan Diselubungi Kesedihan kabarmalay3.blogspot.com



Diketepikan daripada mendapat sebarang kerusi Parlimen menyebabkan perjumpaan Amanah Wilayah Persekutuan semalam diselubungi kesedihan.

Perjumpaan selama dua jam itu diadakan berikutan Amanah Wilayah Persekutuan tidak diperuntukkan walau satu kerusi pun di Parlimen pada PRU 14, sedangkan parti itu sebelum ini berharap agar dibenarkan bertanding di Parlimen Setiawangsa.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Hatta Ramli dikatakan berminat bertanding di Parlimen Setiawangsa sebagai menggantikan Parlimen Kuala Krai yang ditandingi pada PRU 13.

Apabila PH mengumumkan Parlimen Setiawangsa diserahkan kepada PKR, Dr Hatta dilaporkan kecewa dan mengancam akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan.
Justeru itu satu perjumpaan khusus diatur antara Amanah Pusat dengan Amanah Wilayah Persekutuan semalam.

Antara pemimpin yang hadir adalah Presiden Mohamad Sabu; Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli; Pengarah Strategik Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan dan Ketua Amanah Wanita Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurut sumber yang enggan namanya disiarkan, suasana hiba bermula apabila seorang anggota parti menitiskan air mata ketika menyuarakan rasa terkilannya terhadap keputusan pimpinan PH yang meminggirkan kehendak Amanah Wilayah Persekutuan itu.

“Ada yang telah berkempen sejak Amanah ada di wilayah (Kuala Lumpur). Saya rasa (mereka) menangis bukan sebab marah, tetapi kerana telah berkorban begitu banyak,” katanya kepada Malaysiakini.



Menurut seorang lagi sumber yang hadir pada pertemuan semalam, hampir semua anggota wanita dan sebahagian anggota lelaki menangis ketika individu itu (Dr Hatta ?) sedang bercakap.

Khalid Samad ketika dihubungi berkata, beliau turut sedih semasa pertemuan semalam.

“Mereka (anggota parti) menangis sebab tak ada kerusi di Wilayah. Sedih memanglah sedih tapi tak adalah sampai kita semua menangis berjemaah,” katanya.

Dalam pengumuman Ahad lalu, PH membenarkan Amanah bertanding di Parlimen Shah Alam dan Kota Raja yang sebelum ini ditandingi oleh Khalid Samad dan Dr Siti Mariah.

Sementara itu, Pengarah komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan Datuk Tarmizi Mohd Jam berkata, dalam pertemuan itu Presiden Amanah, Mat Sabu memberi penjelasan berkenaan kehilangan kerusi Parlimen Setiawangsa.

“Presiden menjelaskan hilangnya kerusi Titiwangsa menyebabkan Amanah tiada satu kerusi pun di Kuala Lumpur untuk PRU ke-14.

“Beberapa resolusi dicapai bagi mencari jalan keluar, presiden dan pasukan perunding kerusi akan mengambil tanggunjawab secara langsung,” katanya di Facebook.

Selain Amanah Wilayah Persekutuan, turut tidak berpuas hati adalah Amanah Perak yang diperuntukkan empat kerusi Parlimen dan Amanah Johor dengan dua kerusi Parlimen.

Subscribe to receive free email updates: