ALOR SETAR, 1 Zulhijjah 1439H, Isnin – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini mahu agar unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak diusik bagi memastikan keharmonian dan keamanan dapat dikekalkan.
Baginda bertitah ia termasuklah kewujudan institusi diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi.
“Beta perhatikan sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan untuk mengganggu gugat perpaduan kita. Isu nostalgia bangsa, sensitiviti kaum, agama dan kepercayaan ditimbulkan secara sengaja,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, hari ini.
Baginda bertitah walaupun dilakukan atas dasar liberalisme, keterbukaan serta kebebasan bersuara, namun Perlembagaan sedia ada perlulah dihormati dan diberi keutamaan.
“Permuafakatan telah pun dimeterai kemas dan kemudian telah membentuk kandungan Perlembagaan kita. Pakatan murni yang dipersetujui adalah cerminan sikap tolak ansur pribumi terhadap pelbagai kaum yang lain dan telah diterima sebagai sebuah kontrak sosial,” titahnya.
Sultan Sallehuddin turut menzahirkan kebimbangan mengenai kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan tahun ini apabila Malaysia mencatat penurunan tujuh tangga dan berada pada kedudukan ke-62 daripada 180 negara, kedudukan terburuk sejak lima tahun lepas.
Titah baginda sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, kedudukan itu sangatlah membimbangkan dan ia harus dipandang serius serta ditangani segera agar imej Malaysia tidak tercalar pada peringkat antarabangsa.
“Dalam menanggapinya, soal dasar yang harus kita tanyakan ialah mengapakah hal yang seperti ini terjadi? Telah hilangkah maruah kita sehingga sanggup memberi dan menerima rasuah?” titahnya.
Dalam konteks Kedah, baginda menyeru agar kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan dapat dikurangkan dan mencari alternatif lain antaranya ekopelancongan, pemerkasaan industri herba dan farmaseutikal.
“Beta berharap pihak yang diamanahkan memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan khazanah hutan ini dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, malah generasi akan datang,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin berharap agar rakyat mengambil iktibar dan pedoman atas semangat juang serta berani bangsa terdahulu yang menjadikan Kedah Tua sebagai bangsa dikenali dan disebut-sebut pedagang, sarjana serta pemimpin sejagat. – Bernama