JOHOR BAHRU - Pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai akan mengecewakan penjawat awam di negara ini berikutan tiada kenaikan gaji bagi 2018.
Adun Machap, Abd Taib Abu Bakar berkata, setiap tahun penjawat awam akan menantikan berita gembira daripada kerajaan, namun tidak bagi tahun ini selepas peralihan kuasa pemerintahan kerajaan.
Bagi kakitangan kerajaan tentu mereka kecewa sebab setiap tahun gaji mereka akan naik tetapi atas alasan kerajaan yang baru ini tiada duit maka penjawat awam perlu reda.
“Cuma kita tidak mahu nanti alasan oleh kerajaan PH adalah kerajaan BN yang menghabiskan kewangan negara hingga tidak mampu bagi kenaikan kepada penjawat awam,” katanya kepada Sinar Harian.
Kelmarin, media melaporkan kerajaan belum bersedia untuk menaikkan gaji 1.6 juta penjawat awam, namun berjanji untuk melakukannya pada waktu yang bersesuaian.
Dr Mahathir berkata, kenaikan gaji itu memberi kesan kepada kerajaan yang ketika ini sedang memberi tumpuan untuk kurangkan hutang negara. - SH