Ternakan Lembu & Kambing, Beri Pendapatan Lumayan Anak Felda kabarmalay3.blogspot.com


MARAN: Bermain dengan lembu dan kambing setiap hari, bukanlah satu aktiviti yang menjadi menjadi impian dan cita-cita generasi muda.

Namun, ini yang dilakukan Mohd Azril Firdaus Yazid, 35, anak peneroka Felda Jengka 11 yang sejak empat tahun lepas memulakan kariernya dalam sektor penternakan haiwan ternakan itu.

Biarpun ia bukan satu karier yang glamor, tapi baginya ini merupakan satu peluang pendapatan yang lumayan dan harus dicuba, terutama bagi anak-anak muda di Felda dan kawasan kampung tradisional yang lain.

Seperti anak muda yang lain, Mohd Azril yang lebih selesa dipanggil nama gelarannya 'Agoh', pernah berhijrah ke Kuala Lumpur, dan bekerja selama setahun di kilang berbeza.

"Biasalah, ikut kawan-kawan, tapi adik beradik saya lain suruh saya balik ke kampung, jaga emak dan ayah yang kini arwah, masa balik ke kampung itu pening juga, sebab tak tahu nak buat kerja apa, tapi, Alhamdulillah, ada hikmahnya," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Agoh memulakan kariernya dengan hanya menternak sekitar empat ekor lembu. Kini, dengan kerjasama beberapa rakannya yang bergerak sebagai satu kumpulan, mereka memiliki 140 ekor lembu dan 50 ekor kambing dalam jagaan.

Semuanya diternak di sebahagian tanah peninggalan arwah ayahnya yang merupakan peneroka Felda Jengka 11.

"Saya tak ada latihan formal, saya belajar menjaga lembu ini daripada arwah ayah saya sendiri, beliau pun dulu ada bela lembu," kata anak bongsu daripada enam adik beradik itu.

Beliau berkata, haiwan ternakan itu kemudiaannya dijual kepada penduduk setempat selain 'dieksport' ke beberapa negeri di luar Pahang.

Penerima Anugerah Usahawan Felda Wilayah Jengka itu menarik perhatian bahawa kawasan penempatan Felda dengan penduduk di setiap satu penempatan mencecah sekurang-kurangnya 2,000 orang itu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan kepada generasi baru Felda.

"Tak perlu ke bandar, banyak peluang ada, cumanya kita kena kerja keras sikit," katanya.

Selain mengusahakan penternakan lembu dan kambing, Agoh yang juga mengusahakan perniagaan pengangkutan kelapa sawit menggunakan lori turut membuka peluang kepada anak-anak tempatan Felda untuk bekerja di bawahnya.

Kini tinggal bersama isteri dan anak-anaknya di rumah arwah ibu bapanya, beliau turut menyambut baik pembinaan perumahan seperti Perumahan Generasi Baharu Felda.

"Kalau boleh, memang nak beli sebuah, tapi kita tunggu siaplah di sini," katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: