JERANTUT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menggunakan perkhidmatan helikopter untuk menghantar dan mengambil peti undi di pedalaman Ulu Tembeling, di sini pada proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jerantut, Datuk Tengku Nur Asmaliza Ku Lah berkata, peti undi yang terlibat adalah di pusat mengundi Kampung Pagi, Gusai, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kuala Sat.
"Kelima-lima pusat mengundi ini terletak di kawasan pedalaman dan jaraknya sangat jauh dari pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Daerah Jerantut (MDJ).
"Penduduk di sana hanya menggunakan bot dan pacuan empat roda untuk ke pusat bandar. Jadi, kita terpaksa menggunakan helikopter untuk menjimatkan masa serta ia lebih selamat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat dan meninjau persiapan terakhir 1,300 petugas SPR bersama anggota polis di Dewan MDJ di sini hari ini.
Menurut beliau, dianggar 63,000 pemilih berdaftar di kawasan tersebut akan keluar membuang undi di 54 pusat mengundi bagi memilih wakil rakyat di kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Pengundi di Jerantut dinasihatkan keluar mengundi awal dan kami juga berharap proses pengudian berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini," katanya. #sumber