KUANTAN: Berbanding calon yang diturunkan Barisan Nasional (BN) pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, calon BN di Parlimen Kuantan kali ini dilihat agak berlainan dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
Berperwatakan mesra dan mudah didekati, Datuk Andrew Wong Kean Hwee bukanlah berlatarbelakangkan kalangan ‘orang politik’, sebaliknya cenderung dalam bidang kesukarelawanan membantu masyarakat melalui medium pertubuhan bukan kerajaan (NGO) .
Mengetuai beberapa badan amal dan kebajikan serta terbabit sebagai aktivis alam sekitar, Andrew, 57, tidak asing lagi bagi penduduk di daerah yang menjadi pintu masuk ke pantai timur buat yang datang dari arah Kuala Lumpur dan selatan Semenanjung itu.
Beliau yang dipertaruhkan bagi merobek kubu PKR yang telah bertapak di situ sejak dua edisi pilihan raya terdahulu, dilihat sebagai muka baharu yang berpotensi membuat kejutan berdasarkan gerak kerjanya mendekati masyarakat menerusi aktiviti berkenaan selama ini.
Andrew hanya mula berjinak-jinak dengan politik setelah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA dua tahun lepas, dan sejak itu beliau lebih agresif melakukan kerja-kerja mendekati masyarakat seperti diarahkan.
Beliau menyedari berdasarkan populasi lebih setengah juta orang di Kuantan dan seramai 62,831 pengundi berdaftar pada PRU14 kali ini, cabaran untuk menjadi wakil rakyat di situ bukan mudah terutama untuk sampai ke setiap inci daerah berkeluasan 2,960 kilometer atau 1,143 batu persegi Parlimen itu bagi ‘menjual’ tawaran BN.
“Walaupun berat tetapi saya sahut cabaran dengan tekad untuk mengubah wajah bandar ini ke arah Kuantan baharu yang progresif dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon baru-baru ini.
Pemegang Ijazah dari Universiti Windsor, Kanada itu berkata walaupun telah 10 tahun menabur bakti di kawasan yang akan ditandinginya itu, beliau tetap mengambil langkah membuka pusat khidmat masyarakat di bandar Kuantan bagi mengenali dan mendekati masyarakat selain membantu mereka.
Katanya sebagai aktivis politik beliau tidak gemar bercakap atau bertempur dalam bahasa politik yang ada kalanya melampaui batas ketika membincangkan sesuatu isu sebaliknya lebih gemar turun bertemu rakyat bagi menyelami kehendak dan harapan mereka kepada parti politik.
Mengambil isu Lynas sebagai contoh, Andrew berkata pembangkang khususnya PKR tidak habis-habis memutar belit fakta dan mengitar semula tuduhan tidak berasas kononnya kilang di Gebeng tidak selamat tetapi setelah kerajaan mengemukakan fakta sahih, mereka membangkitkan pula isu tapak kekal pelupusan pembuangan sisa radioaktif.
Andrew berkata untuk kempen kali ini fokusnya kini tertumpu kepada usaha memenangi hati 41,796 pengundi Melayu, 18,587 pengundi Cina dan 2,136 pengundi India bagi membebaskan penduduk Kuantan daripada ‘genggaman’ pembangkang sejak 10 tahun lepas.
Usaha itu digambarkan melalui pengenalan manifesto ‘Kuantan Baharu dan Progresif’ yang mengandungi lima inisiatif ke arah menjana pertumbuhan ekonomi di bandar itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Antaranya menjadikan Kuantan Bandar Pelabuhan Bebas, meningkatkan infrastruktur melalui pembinaan lebih banyak persimpangan bertingkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menaik taraf kawasan pelancongan sedia ada di samping meneroka lokasi baharu yang berpotensi dimajukan.
Menurutnya, perkara itu gagal diberi perhatian wakil rakyat sebelum ini sedangkan pemerkasaannya berupaya membawa limpahan peluang pekerjaan, sekali gus memacu perkembangan Kuantan sebagai bandar serba maju dan turut memberi impak terhadap sektor hiliran lain seperti pelancongan.
Mengenai peluang merampas kerusi itu, Andrew berkata beliau percaya mampu melakukannya jika pengundi Cina Kuantan menterjemahkan penolakan mereka terhadap penyandang kerusi itu daripada PKR atas kegagalannya membawa aspirasi kaum itu, ke atas kertas undi pada 9 Mei nanti.
“Jika ini berlaku dan undi Cina kepada BN pada PRU13 tidak berubah, saya percaya mampu membuat kejutan apatah lagi undi pembangkang kini berpecah selepas PKR dan PAS yang dahulunya bersatu kini bersaing sesama sendiri bagi menghalang BN daripada merampas kerusi tersebut,” katanya.
Beliau berkata keyakinan itu turut disumbang oleh kesediaan UMNO, khususnya pimpinan tertinggi bahagian Kuantan menerimanya sebagai calon atas semangat setia kawan BN menawan semula kerusi itu yang dianggap sebagai simbol kekuatan BN di Pahang.
Selain Andrew, kerusi Parlimen Kuantan turut ditandingi PAS melalui calonnya Sulaiman Mat Derus dan Fuziah Salleh daripada PKR yang kembali dicalonkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan majoriti 4,515 undi pada PRU13. #sumber