KUALA LUMPUR: Permasalahan dihadapi rakyat dan negara hari ini bukan dapat diselesaikan dengan menurunkan seseorang atau menaikkan mana-mana individu semata-mata, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi yang juga Pengerusi Gagasan Sejahtera berkata, permasalahan seperti indeks rasuah yang merosot, jenayah, gejala sosial yang mengancam negara serta kos sara hidup meningkat memerlukan penyelesaian menyeluruh.
"Semua permasalahan ini perlu penyelesaian holistik dan reformasi sistem, bukan sekadar menurunkan seseorang atau menaikkan mana-mana individu semata-mata," katanya dalam perutusan khas sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, melalui sembilan teras manifesto Malaysia Sejahtera yang antara lain termasuk pembentukan kerajaan berintegriti, penambahan pendapatan boleh guna dan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat diyakini dapat menyelesaikan permasalahan itu. #sumber