KUANTAN: Calon Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa isu projek Lynas belum selesai kerana terdapat janji yang belum ditunaikan kerajaan BN.
Beliau berkata, janji itu melibatkan tapak kekal pembuangan sisa radio aktif dan penghantarannya ke Australia.
Menurutnya, BN cuba mendiamkan isu Lynas itu walaupun beliau beberapa kali telah menyuarakannya di Parlimen sebelum ini.
“Sebelum PRU lalu, kerajaan BN termasuk beberapa menteri mengatakan sisa tersebut akan dihantar balik ke Australia. Itu janji dia pada PRU lalu. Saya tanya berapa kali di Parlimen, kata ada tapak. Namun sehingga hari ini kita tahu sisa tersebut masih ada di kilang Lynas di Gebeng.
“Ia isu yang tidak selesai apabila BN cuba menutup isu ini dengan mengatakan tidak ada isu,” katanya kepada media selepas mengadakan program walkabout di Pasar Besar Kuantan, di sini, semalam.
Fuziah memberi kenyataan sedemikian selepas calon BN Parlimen Kuantan, Datuk Andrew Wong sebelum ini mendakwa penyandang kerusi Parlimen Kuantan itu hanya mengitar semula isu lama iaitu projek Lynas.
Isu Lynas bermula sejak 2009 apabila bermula penentangan terhadap pembinaan kilang pemprosesan logam tanah jarang milik Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng, di sini kerana banyak pihak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan projek terbabit. #sumber