SHAH ALAM : Sebarang provokasi dan dakwaan negatif yang dilemparkan pihak tertentu kepada Universiti Selangor (UNISEL) kini dianggap sebagai catatan lapuk dan tidak perlu dikenang.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, universiti milik Kerajaan Negeri itu kini fokus untuk terus memacu kegemilangannya.
Beliau berkata, UNISEL mengambil pendirian terbuka untuk terus melakar sejarah baru, dengan prinsip keterbukaan bagi menjamin kecemerlangan pada masa akan datang.
“Mereka (pihak tertentu) masih bernostalgia dengan cerita-cerita lama. Di bawah pengurusan saya, UNISEL kini adalah UNISEL yang baru.
“Sesetengah pihak cemburu dengan kejayaan universiti ini ketika UNISEL kini berada dalam keadaan terbaik.
“Mereka bergembira ketika UNISEL sebelum ini berada dalam keadaan tidak baik, tetapi kini mereka semakin rasa kurang senang apabila prestasi kita kini berada pada landasan yang cukup cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada temubual esklusif bersama SelangorKini di pejabatnya, semalam.
Sebelum ini, UNISEL mendapat liputan meluas daripada media utama negara membabitkan pertikaian syarikat konsesi Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Laporan berat sebelah itu kononnya mendedahkan wujudnya persoalan besar terhadap pengambilalihan konsesi berkenaan di peringkat pengurusan dalaman UNISEL.
Menafikan kemelut berkenaan, Mohammad Redzuan berkata, UNISEL kini ditunjangi pentadbiran telus yang mengangkat martabat pendidikan negara.
Beliau berkata, ini termasuklah pelaksanaan dasar pendidikan percuma di bawah Skim Dermasiswa, pembaikan fasiliti dan penjemanaan pengajian baru di UNISEL.
Untuk laporan lanjut, dapatkan akhbar SelangorKini keluaran 17-23 Januari depan.=EZY=