Hakim berkata perintah pengharaman buku itu menyekat hak asasi Faisal dari segi perlembagaan berhubung kebebasan bersuara.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan perintah pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap 4 buku tulisan novelis Mohd Faizal Musa, 43, yang menggunakan nama pena Faisal Tehrani.
Panel 3 hakim terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Ahmadi Asnawi dan Puan Sri Zaleha Yusof mendapati perintah dikeluarkan pada 12 Februari 2015 itu bercanggah dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ketika menyampaikan penghakiman itu, Zaleha berkata perintah pengharaman buku berkenaan menyekat hak asasi Mohd Faisal dari segi perlembagaan berhubung kebebasan bersuara.
“Walaupun diakui hak itu tidak bersifat mutlak, tetapi kami bersetuju dengan yang arif peguam bagi perayu (Mohd Faizal) bahawa mahkamah bagaimanapun perlu memberi keutamaan terhadap perkara itu,” katanya.
Beliau berkata sekiranya muka surat tertentu dalam 4 buku berkenaan didapati melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, akta itu membenarkan muka surat berkenaan dikeluarkan.
“Oleh demikian, pada pendapat kami, sekatan yang dikenakan terhadap semua 4 buku berkenaan,
merupakan langkah yang sangat drastik, tidak rasional, tidak munasabah, tidak sepadan dan tidak sesuai dari segi prosedur.
Panel dipengerusikan Tengku Maimun itu sebulat suara membenarkan rayuan Mohd Faizal bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakimannya, yang difailkan pada 29 Jun 2015 bagi mencabar perintah pengharaman berkenaan.
Zaleha mengeluarkan perintah certiorari bagi mengetepikan perintah KDN dan perisytiharan bahawa perintah pengharaman itu adalah tidak sah dan terbatal, di luar bidang kuasa Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menyalahi Perkara 8(1) (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 10(1)(a) (hak terhadap kebebasan bersuara dan memberi pendapat) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memerintahkan Mohd Faizal dibayar kos RM20,000.
Dalam penghakiman itu, Zaleha berkata mereka telah membaca 4 buku berkenaan dan tidak faham bagaimana buku itu boleh menggugat ketenteraman awam atau menjadi ancaman terhadap keselamatan.
“Sebagai contoh, dalam ‘Tiga Kali Seminggu’, cerpen ‘Rindu Ini Luar Biasa’ mengisahkan tentang 2 manusia yang jatuh cinta ketika mereka berjuang untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dan bagaimana jawatan, status dan kuasa boleh mengubah pendapat manusia,” kata beliau.
Zaleha juga berkata dengan menyatakan KDN hanya mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa adalah tidak mencukupi untuk membuktikan 4 buku berkenaan mungkin boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana keputusan jawatankuasa itu tidak disebut dalam 4 buku berkenaan.
KDN mengharamkan 4 buku — “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu” dan “Ingin Jadi Nasrallah” – tulisan Mohd Faizal dengan memberi alasan buku itu didapati mengandungi unsur ajaran Syiah dan bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Langkah itu mendorong Mohd Faizal memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Mohd Faizal diwakili peguam Abdullah Abdul Rahman dan Derrick Moh, manakala Peguam Kanan Persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri.