Permohonan Datuk Husam Musa untuk mendapatkan ‘injunksi erinford’ (permohonan kekalkan status qou) dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini dalam isu perebutan Wisma Tok Guru.
Hakim Ahmad Bin Bache yang memutuskan demikian berkata pihak plaintif mempunyai ssas yang jelas dalam tuntutan berkenaan.
Peguam yang mewakili Husam, Murtadza Mokhtar berkata keputusan ini bermaksud pihak plaintif diberi hak menguruskan hartanah sebagaimana sebelum kes ini bermula.
“Maknanya pihak Datuk Husam adalah pengendali sah hartanah berkenaan sehingga perbicaraan mengenainya yang kini sedang dibicarakan di mahkamah selesai,” katanya.
Bagaimanapun Murtadza berkata pihak hakim meminta kedua-dua pihak berunding secara muafakat jika ada prmohonan tuan tanah untuk menggunakannya.
Dengan keputusan ini, Wisma Tok Guru akan berada dalam status qou sebelum penolakan mahkamah terhadap permohonan injunksi Husam sebelum ini sehinggalah rayuan terhadap penolakan injunksi itu diputuskan mahkamah.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 17 November lalu menolak permohonan Husam untuk menghalang (Injunksi) Pas dari memasuki kawasan bangunan pejabatnya dengan alasan bukti bertulis yang ada menunjukkan tanah itu milik Mohd Yassin, Setiausaha Kerja Pas Kelantan.
Ekoran itu, Husam memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengkaji balik keputusan itu.
Wisma Tok Guru adalah bangunan yang menempatkan pejabat Adun Salor iaitu Husam.
Ia dibenarkan oleh pemilik asalnya, Datuk Rusli Ibrahim, untuk digunakan oleh Husam sampai bila-bila.
Namun apabila Rusli meninggal, balu beliau yang menjadi penama tanah itu telah menjualnya kepada Mohd Yassin, Setiausaha Kerja Pas Kelantan, yang dipertikaikan oleh Husam.
Pada 17 Disember lalu, Pas telah menganjurkan majlis solat hajat di tapak tanah yang mereka beli itu.
Injunksi Erinford adalah perintah untuk kekalkan keadaan seperti biasa sementara rayuan belum didengar dan diputuskan.
Menurut peguam Husam, Mohamed Hanipa Maidin, dalam kes ini, keadaan biasa adalah sebelum Pas dakwa membeli membeli tanah itu menggunakan nama setiausaha kerjanya.