ISMA WEB
KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tidak menyangkal hubung kait kegiatan nombor ekor dengan perbuatan khurafat.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar berkata, JHEAT mengesan terdapat kegiatan pemujaan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan nombor ekor.
“Pihak JHEAT belum dapat menangkap mereka yang melakukan perkara tidak bermoral (khurafat) ini dan hanya menjumpai peralatan-peralatan yang digunakan untuk tujuan pemujaan (bagi mendapatkan nombor ekor),” katanya ketika dihubungi Bernama berkaitan operasi membanteras judi nombor ekor dijalankan JHEAT semalam.
Katanya, pihak JHEAT juga mengenal pasti antara tempat yang sering dijadikan tempat pemujaan ialah seperti di Gua Bukit Keluang, Besut dan beberapa kawasan lain.
Berhubung operasi itu, katanya hasil maklumat awam dan risikan JHEAT mendapati nombor ekor turut dijual di kedai alat ganti motosikal, kedai makan dan kedai runcit dan dalam operasi itu tujuh ditahan iaitu enam ditahan di sebuah kampung di Kuala Nerus dan seorang di premis makan di Gong Badak.
“Semasa tangkapan dilakukan kesemua individu berumur 30 hingga 72 tahun itu mempunyai resit nombor ekor yang diletakkan di dalam poket, beg duit dan ada juga masih pegang di tangan,” katanya.
Wan Ismail Sahaimi berkata, kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 22, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- Bernama