Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya mendapatkan sokongan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai calon perdana menteri membidas tinjauan yang dibuat badan kaji selidik Merdeka Centre yang meramalkan musuh politik mereka akan mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menolak dapatan tinjauan terbabit pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata firma berkenaan bebas untuk membuat kesimpulan apa saja.
Malah katanya keputusan kaji selidik Merdeka Center yang meramalkan BN kembali menguasai Dewan Rakyat dengan majoriti dua per tiga adalah "mimpi di siang hari".
"Mereka boleh bermimpi di siang hari, mereka boleh bermimpi apa saja yang mereka suka," katanya pada sidang media yang diadakan selepas Konvensyen HARAPAN di Shah Alam hari ini.
Awal minggu ini, Merdeka Centre mengadakan sesi taklimat pilihan raya dan hal ehwal semasa untuk syarikat perbankan utama negara ini, CIMB Bank.
Taklimat itu dijalankan secara tertutup, tetapi beberapa hasil kajian berkenaan terbocor ke media dalam talian. Tidak dapat dipastikan sama ada kebocoran itu disengajakan atau tidak.
Menurut slaid yang dimuat naik di internet, Merdeka Centre antara lain mendapati PAS kelihatan membantu BN menang besar dengan memainkan peranan sebagai 'pengacau' dalam PRU ke-14 nanti.
AMANAH tak gembira
Agensi kaji selidik itu juga mengandaikan PAS dijanjikan ganjaran yang bentuknya tidak dijelaskan secara terperinci.
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak tahu asas kaji selidik Merdeka Centre itu tetapi menegaskan dapatan berkenaan bukan sesuatu yang tepat.
"Tidak ada suatu pilihan raya pun (setanding PRU-14) yang mana pihak kerajaan mempunyai banyak isu-isu untuk dijawab tetapi tidak dapat (berbuat demikian)," katanya.
HARAPAN sedang mengadakan persiapan fasa terakhir sebelum diuji melalui PRU ke-14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Walaupun tarikh terakhir PRU diadakan ialah pada Ogos ini, sesetengah pemerhati menjangkakan ia boleh diadakan dalam tempoh kurang dari 100 hari saja lagi.
Konvensyen hari ini juga mendedahkan bahawa HARAPAN sudah menyelesaikan pembahagian kerusi parlimen untuk mereka tandingi di Semenanjung Malaysia.
Daripada 165 kerusi yang ada BERSATU mendapat peruntukan terbesar dengan 52 kawasan, diikuti PKR sebanyak 51, DAP 35 dan Parti Amanah Negara (AMANAH) 27.
AMANAH boleh dianggap pihak yang 'rugi' kerana mendapat peruntukan terkecil berbanding parti lain, termasuk BERSATU yang ditubuhkan lebih lewat daripada mereka.
Bagaimanapun dalam ucapannya di Konvensyen HARAPAN hari ini, Dr Mahathir secara khusus memberikan penghargaan kepada AMANAH kerana berjaya membantu menyelesaikan kemelut pembahagian kerusi berkenaan.
Para pemimpin utama HARAPAN kemudiannya bangun sambil bertepuk tangan tanda hormat kepada presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Bagaimanapun beberapa pemimpin AMANAH di peringkat negeri tidak gembira dengan keputusan dicapai itu.
- MK