Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Tidak semestinya mengadakan pertandingan untuk memilih siapakah timbalan presiden Umno yang baru sebaliknya cukup dengan perbincangan dan persetujuan bersama di kalangan perwakilan parti.
Itu pandangan beberapa perwakilan Umno kepada Antarapos ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU 2017).
Perwakilan Umno Bahagian Lipis, Datuk Abu Jimi Samad berkata beliau yakin semua perwakilan bersetuju dengan gandingan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menerajui kepimpinan parti.
Jawatan timbalan presiden Umno kosong selepas bekas penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yaasin dipecat daripada parti pada Jun 2016.
"Demokrasi sebenarnya bukan mengenai pertandingan semata. Demokrasi juga dengan cara perbincangan, persetujuan bersama.
"Sebenarnya perundingan, perbincangan juga merupakan satu kaedah demokrasi. Apa yang Umno buat menyuburkan demokrasi iaitu penentuan pucuk pimpinan dengan cara perbincangan sahaja.
"Inilah paling baik dalam sesebuah parti. Kita hanya boleh terima dengan selesa cadangan ini," katanya kepada Antarapos.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar bersempena PAU 2017 berkata sayap parti itu sebulat suara mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu selepas ini.
Terdahulu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien turut mengemukakan cadangan yang sama bagi memastikan dua pimpinan teratas parti itu tidak bersengketa sesama mereka demi mahu mengekalkan kedudukan masing-masing.
Cadangan itu juga diakui ramai perwakilan akan membolehkan presiden dan timbalannya terus fokus untuk memantapkan dan memastikan pentadbiran negara terus berada pada landasan yang betul.
Antara yang bersetuju adalah Perwakilan Umno bahagian Jelebu, Mohd Radzi Mohd Ali.
"Perlu untuk jawtan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan supaya Presiden dan Timbalan Presiden boleh fokus kepada gerak kerja pembangunan masa depan negara," ujarnya.
Perwakilan Sabak Bernam, Nazwan Azahari turut menyokong cadangan itu dan berkata ramai celik sejarah betapa pertandingan pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno hanya akan membawa pada perpecahan dalam parti.
"Jika kita nak menang pilihan raya, kita kena mantapkan parti dulu. Kita tak mahu ada sebarang perpecahan, kalau ada berlaku pertandingan di kalangan Presiden dan Timbalan Presiden, perpecahan pasti berlaku. Kita dah ada rekod-rekod sebelumnya.
"Jadi kita sokong jawatan Preisden kekal pada Datuk Seri Najib dan jawatan timbalan kita kekalkan terus kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
Bagi Perwakilan Umno Bahagian Kuala Krau, Datuk Rodzuan Zaaba pula berkata semua yang hadir ke PAU 2017 insaf keutamaan kini adalah untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Insya-Allah, di kalangan pemimpin Umno ini, kita sudah sedia apa jua keputusan sekalipun, kita akan tetap bersatu dan bersama lebih-lebih lagi bila PRU14 semakin hampir," ujarnya.
PRU14 perlu diadakan menjelang Ogos tahun hadapan namun jangkaan kuat bahawa pilihan raya akan dipanggil seawal suku pertama tahun 2018.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum ini memberi bayangan PRU14 mungkin diadakan selepas sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 2018.