PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia menafikan dakwaan penyaluran dana kepada Israel dan kecewa dengan seruan memboikot rangkaian restoran makanan segera itu, susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook semalam berkata, mereka tidak menyokong atau terbabit dalam sebarang konflik politik mahupun keagamaan di mana-mana negara.
Mereka menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui WhatsApp itu sebagai dusta, palsu dan fitnah.
“Kami menganggap tuduhan sedemikian sebagai fitnah dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, yang terus menyebarkan pembohongan melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain.”
Rabu lalu, Presiden Donald Trump mengisytiharkan Kedutaan AS di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis, dalam langkah untuk mengiktiraf kota suci kepada 3 agama itu sebagai milik Israel.
Tindakan itu mencetuskan protes besar-besaran di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang disertai ribuan orang berkumpul di luar Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Pengarah Urusan dan pemilik saham tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, Azmir Jaafar dalam kenyataan itu berkata, perniagaan McDonald’s di Malaysia dikendalikan syarikat itu yang merupakan 100% milik rakyat tempatan dengan pemegang saham terbesarnya beragama Islam.
“Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasai umat Islam di seluruh dunia berhubung isu ini. Marilah kita bersatu dan menumpukan perhatian kepada perjuangan betul, dan mendoakan sebaiknya untuk mereka yang menerima kesan disebabkan perkembangan ini.”
Katanya, McDonald’s menjadi sebahagian masyarakat negara ini sekian lama dengan lebih RM2.5 juta diperuntukkan untuk menganjurkan lebih 5,000 aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara, tahun ini.
Restoran itu pernah berdepan kempen boikot oleh kumpulan Islam pada Ogos 2014 yang menyebabkan kira-kira 80% kerugian di cawangan Kerteh dan Dungun akibat protes ganas.
Beberapa francais di seluruh negara turut berdepan vandalisme dan kakitangannya diganggu atas dakwaan ia menyalurkan dana dan membantu Israel melalui kekejaman rejim Zionis terhadap Gaza