THE MALAYSIAN TIMES
PETALING JAYA: Padah mengintai bawah skirt seorang wanita, seorang bekas pengawal keselematan dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhi hukuman itu ke atas Uzir Muhamad, 52, selepas dia mengaku bersalah mengintai bawah skirt seorang pereka laman web berusia 26 tahun dengan tujuan mengaibkan kehormatannya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lobi sebuah wisma di sini, pada 8.30 pagi, 30 Nov lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap iaitu 16 Dis lepas.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf serta berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap tertuduh.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mengekori mangsa dari arah belakang sebelum dia mengintai ke bawah skirt mangsa.
Mangsa yang ketakutan terus membuat aduan kepada pihak pengurusan. — Bernama