PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyenaraikan 7 tindakan di pihak kerajaan yang menurutnya akan memenangkan Barisan Nasional (BN) sekali lagi pada pilihan raya akan datang.
Menulis di blognya hari ini, bekas perdana menteri itu, yang mempengerusikan BN selama lebih 2 dekad dan memenangi 5 pilihan raya umum dengan selesa, berkata terdapat pelbagai cara dalam memastikan kekalahan pembangkang.
Yang paling utama, menurutnya, adalah hakikat yang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terletak di bawah telunjuk kerajaan, sedangkan ia sepatutnya menjadi badan bebas.
Berikut 7 taktik khusus yang menurut Dr Mahathir, akan dilaksanakan bagi memastikan kemenangan BN.
1. Persempadanan semula. “Sempadan boleh dipindahkan, pusat mengundi boleh diubah dan nama pengundi hilang atau muncul di senarai lain.”
2. Rasuah pengundi. “Aduan terhadap pihak berkuasa tidak disusuli tindakan. Selain wang, perkakas dapur dan pelbagai barangan lain akan diedarkan.”
3. Gangguan terhadap parti lawan. “Parti pembangkang diganggu, kesalahan dicari dan pendaftaran dilambatkan atau ditolak.”
4. Sumber dana pembangkang dihalang. “Penderma mereka diancam, dipaksa dengan penambahan cukai dan dituduh dengan pengubahan wang. Wang mereka dalam bank dibekukan supaya mereka tidak dapat menjalankan perniagaan.”
5. Kemudahan awam dihalang. “Dewan milik awam ditutup kepada parti pembangkang. Hotel boleh menafikan kegunaan dewan mereka untuk pembangkang. Pihak berkuasa tempatan tidak memberi permit untuk perhimpunan anjuran pembangkang. Dalam beberapa kes, penggunaan khemah untuk perhimpunan tidak dibenarkan.”
6. Undi bukan rahsia. “Kerajaan akan menyebar khabar angin yang ia mengetahui pilihan pengundi. Ia menjurus kepada ancaman terhadap penyokong pembangkang yang mereka akan dihukum.”
7. Penggunaan pegawai kerajaan. “Pegawai di agensi dan syarikat milik kerajaan diberitahu supaya memastikan kakitangan mereka mengundi untuk parti kerajaan. Mereka diugut akan dipecat sekiranya gagal berbuat demikian.”