Di Pekan, jalan sukar tetapi tak mustahil kabarmalay3.blogspot.com

DETIK DAILY



PETALING JAYA: PKR Pahang mengakui sukar untuk memenangi kerusi parlimen Pekan milik Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi yakin ia bukan sesuatu yang mustahil.

Adun Semambu yang juga sebahagian daripada Majlis Pimpinan PKR Pahang, Lee Chean Chung, berkata keyakinan itu kerana pembangkang pernah hampir mengalahkan Najib pada PRU 1999.

Pada 1999, di kemuncak krisis politik susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Ramli Mohamed kalah tipis kepada Najib yang ketika itu menyandang jawatan sebagai menteri pendidikan.

Najib menang dengan majoriti hanya 241 undi.

Berdasarkan sejarah itu, Lee yakin ia sesuatu yang boleh diulangi.

“Jika kita pernah lakukannya, kita boleh melakukannya sekali lagi. Juga, jika Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi itu, ia akan menjadi tamparan hebat kepada BN,” kata Lee.

Najib pertama kali dipilih di Pekan pada 1976 ketika berusia 23 tahun. Sebelum itu, ia dipegang bapanya yang juga perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia pada Januari tahun sama.

Najib menjadi ahli Parlimen Pekan kecuali dari 1982 hingga 1986. Pada PRU 1982, beliau memegang kerusi negeri, dan menjadi menteri besar Pahang selama satu penggal.


Pekan mempunyai lebih 95% pengundi Melayu, menurut bancian Jabatan Statistik pada 2010 yang juga berpotensi menjadi isu kepada pembangkang.

Lee mendakwa terdapat peningkatan pengundi dalam kem tentera di kawasan parlimen itu sejak 1999, menjadikannya lebih mencabar untuk PH memenangi kerusi tersebut.

Awal tahun ini, bekas perdana menteri yang kini menerajui pimpinan pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Najib menipu untuk memenangi kerusi Pekan pada 1999.

“Najib menipu. Pada 1999, ketika dia hampir kalah di Pekan, dia mengambil jalan membawa masyarakat Orang Asli dan askar, dan mereka dipaksa untuk menyokongnya. Hasilnya, dia menang dengan 200 undi,” kata Dr Mahathir pada perhimpunan PPBM di Pulau Pinang pada Februari lalu.

Kemenangan tipis Najib pada 1999 berlaku di bawah pentadbiran Dr Mahathir, susulan tindakannya memecat Anwar yang mencetuskan gerakan reformasi yang kebanyakannya disokong masyarakat Melayu.

“Reformasi pada 1998 mungkin membantu meningkatkan sokongan kepada Ramli pada 1999, dan senario yang sama boleh berlaku apabila sebahagian bekas ahli Umno yang berpengaruh menjadi sebahagian daripada pembangkang.

“Apa yang berlaku pada 1999 mungkin akan berlaku lagi,” kata Lee.

Tetapi kemenangan PH bergantung bagaimana pembangkang dapat memujuk orang Melayu untuk mengundi mereka.

“Kami percaya rakyat sedang mencari perubahan tetapi mereka mesti ditunjukkan arah yang betul.
“PPBM juga dapat melemahkan populariti BN di sana dan ia akan menjadi sangat menarik untuk melihat dinamik sekarang di mana Dr Mahathir sedang ‘menghidupkan senapangnya’.”

Subscribe to receive free email updates: