KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan sebanyak 89,791 penyata cukai barang dan perkhidmatan (GST) masih belum diserahkan oleh syarikat dan industri di negeri ini.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Hamzah Sundang berkata, jumlah penyata yang belum diterima oleh jabatan itu adalah setakat Oktober pada tahun ini.
Menurutnya, syarikat dan pemain industri di negeri ini mempunyai tempoh sebelum hujung tahun ini untuk melunaskan tanggungjawab itu sebelum sebarang tindakan tegas diambil ke atas mereka.
“Jumlah pendaftar GST di Sabah adalah sebanyak 24,610, namun sehingga Oktober lalu sebanyak 89,791 bilangan penyata GST perlu diserahkan kepada kastam.
“Kastam berharap pihak peniaga yang belum menyerahkan penyata GST segera melaksanakan tanggungjawab bagi mengelak tindakan undang-undang” katanya kepada pemberita selepaa merasmikan pelancaran Program Duta GST Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KCCI) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden KCCI, Datuk Michael Lui Yen Sang serta pegawai-pegawai kanan JKDM negeri.
Dalam majlis, Hamzah turut mengumumkan pelantikan Duta GST KCCI, Crystal Tay Siew Ching.
Mengulas mengenai kutipan GST bagi negeri ini, Hamzah berkata, pihaknya mencatatkan peningkatan jumlah pembayaran GST bagi 2017 berbanding tahun sebelumnya.
.Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah itu hanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.