5 pelajar Malaysia tewaskan 46 peserta dunia cipta kaedah kuasai bahasa Arab kabarmalay3.blogspot.com

 
Kaedah 'Bunga Semun' iaitu singkatan bagi buka, nganga, senyum dan muncung yang memfokuskan cara sesuatu huruf itu disebut, dicipta dalam tempoh sebulan oleh 5 pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia.

 
IPGM_pelajar_600


BESUT: Lima pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan, di sini, berjaya mencipta kaedah menguasai bahasa Arab dengan menggabungkan kaedah tradisional dan teknologi digital.

Kaedah yang dinamakan “Bunga Semun” itu dicipta dalam tempoh sebulan oleh Norazman Ahmat Syafri bersama Muhammad Ikhwan Mohd Amin, Muhammad Aizuddin Mingu, Nurul Nazihah Jamilkhair dan Medina Mohd Noor.

Norazman, 23, yang mengetuai kumpulan pelajar terbabit berkata, “Bunga Semun” adalah kejayaan terbaik setakat ini kerana mampu menewaskan ciptaan 46 peserta lain, termasuk dari Iran, Jordan, Mesir dan Jepun dalam memperkasakan PdP Pendidikan Bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Isnin lalu.

“Ciptaan ini timbul bagi mengatasi kerisauan terhadap murid sekolah yang masih tidak dapat menguasai asas huruf hijaiyyah dalam bahasa Arab.

“Proses membaca bahasa Arab perlu menggunakan sistem talaqqi yang sudah sekian lama digunakan sejak zaman nabi dan para sahabat, yang memerlukan bimbingan guru dalam proses penilaian membaca,” katanya yang ditemui Bernama hari ini.

Kaedah “Bunga Semun” iaitu singkatan bagi buka, nganga, senyum dan muncung ini memberi tumpuan kepada bagaimana sesuatu huruf itu disebut.

Pada Hari Inovasi PdP Bahasa Arab di Hari Bahasa Arab Sedunia 16 hingga 18 Disember lepas di UKM itu, kaedah tersebut diumumkan sebagai pemenang pingat emas mengalahkan hasil pengkaji lain yang terdiri daripada profesor, doktor falsafah, pensyarah dan pendidik dari seluruh dunia.

Pasukan yang terdiri daripada pelajar tahun akhir itu bersyukur kerana akhirnya menemui kaedah tersebut yang mampu memperkukuhkan penggunaan serta penguasaan bahasa Arab selaras kehendak pedagogi (kajian mengenai pengajaran) abad ke-21.

Hasil kajian inovasi “Bunga Semun” pasukan itu juga diterima untuk dibentang di Universiti Darussalam, Brunei pada akhir Januari depan.

Subscribe to receive free email updates: