Bernama
KUANTAN – Polis menahan pemandu yang dirakam memandu menentang arus di Km 234 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), tiga hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, lelaki warga emas berusia 81 tahun tersebut ditahan pada hari yang sama oleh polis yang melakukan rondaan.
“Sebuah kereta peronda polis mengekori kenderaan suspek dan dia ditahan di Plaza Tol Kuantan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang berasal dari Sungai Lembing itu akan didakwa pada 27 November ini namun buat masa ini dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau mengulas mengenai klip video yang tular di laman sosial yang menunjukkan sebuah kereta Proton Savy dipandu menentang arus di lebuh raya itu yang dipercayai berlaku pada 4.45 petang 9 November lalu.
Kereta itu dipercayai dipandu dalam keadaan sedemikian dari susur keluar Gambang menghala Plaza Tol Kuantan. – Bernama