SHAH ALAM: Amalan dasar pentadbiran Kerajaan Negeri yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti memberi keyakinan kepada pelabur asing melabur di Selangor selain mengembangkan pelaburan sedia ada.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, antara langkah diambil ialah meningkatkan usaha promosi di luar negara seperti menggalakkan pelaburan ke luar negara di samping mempromosikan peluang pelaburan melalui media cetak dan elektronik.
“Hubungan ‘networking’ dengan agensi berkaitan juga akan diwujudkan serta menganjurkan ekspo dan forum bertaraf antarabangsa. Kawasan perindustrian akan dikelaskan mengikut standard kawasan perindustrian bagi menyediakan kawasan perindustrian kondusif mengikut keperluan industri,” katanya.
Katanya, peranan Unit Pelaburan PBT turut diperkasakan bagi membantu pelabur selain menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan kawasan perindustrian di setiap PBT.
“Bagi membantu menyelesaikan isu-isu kawasan perindustrian dihadapi pelabur di peringkat PBT, Mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) juga akan diadakan.
“Hala tuju pembangunan perindustrian itu dirangka melalui majlis mesyuarat ditubuhkan seperti Selangor Information Technology & E-commerce Council (SITEC), Halal International Selangor Council, Selangor Aerospace Council dan Bio Tech Council,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, pagi ini.