Keputusan 4-0 untuk dua pilihanraya umum berturut-turut (PRU 12 dan 13) membuktikan bahawa Kuala Kedah bukanlah tanah yang subur bagi Umno/BN.
Zaman RTM dan TV3 mendominasi dunia maklumat sudah berlalu. Sekarang zaman ICT di mana kebanyakan pengundi di Kuala Kedah boleh mengakses maklumat di hujung jari.
Rakyat tahu isu kleptokrasi Najib, skandal 1MDB, RM2.6 billion, penjajahlaburan China dan sebagainya.
Rakyat merasai detik kepayahan berada di zaman Najib; kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kenaikan input pertanian, beban GST, kemelesetan ekonomi, penutupan kilang, kehilangan pekerjaan, kejatuhan nilai Ringgit serta 1001 duka nestapa ekonomi dan politik di zaman Najib.
Sukarnya Najib kerana mentadbir kerajaan di zaman rakyat semakin cerdik. Secara purata, hampir setiap rumah di Kuala Kedah mempunyai seorang lulusan institusi pengajian tinggi. Apabila rakyat "tahu dan merasai" ia menjadi satu malapetaka buat Najib, Umno dan BN.
Situasi lebih diburukkan apabila tokoh yang dianggap menjuarai penentangan terhadap Najib dan Umno/BN ialah Tun Dr Mahathir yang dahulunya begitu disanjung oleh rakyat Kedah.
Ramai orang Umno yang mengikut jejak Tun Mahathir. Ada seorang AJK Umno Bahagian Kuala Kedah memberitahu saya bahawa lebih separuh AJK Umno Bahagian yang tidak akan mengundi BN pada PRU14. Saya tidaklah mudah untuk mempercayai kata-kata pesaing politik. Mungkin muslihat supaya pembangkang 'syok sendiri' lalu jadi leka dan lalai. Cuma ingin juga saya beritahu bahawa secara kebetulan (mungkin) apa yang diberitahu oleh orang Umno tertentu kepada saya pada PRU 12 dan 13; itulah yang diterjemahkan pada peti undi. Seringkali rakan-rakan Umno'jujur' dalam mendedahkan kelemahan sendiri.
BR1M dan warna-warni Bajet 2018 untuk membeli hati rakyat tampaknya tidak sangat berkesan. Rakyat menerimanya dalam keadaan sedar bahawa itu semua dedak dan umpan!
Seperti beberapa PRU yang lalu, BN cuba memanipulasi persempadan semula pilihanraya untuk mencari jalan mudah menambah undi pukal. BN buntu juga kerana undi Cina masih belum lari dari pembangkang. Mana mungkin melonggokkan Cina hanya dalam satu kawasan mengundi sedangkan mereka bertebaran di seluruh negeri.
Hanya satu peluang terbaik bagi BN untuk menawan empat kerusi Kuala Kedah, merampas kembali lain-lain kerusi di Negeri Kedah seterusnya kembali berkuasa; iaitulah memecahbelahkan perpaduan pembangkang. Ya, itulah satu-satunya cara dan cara yang satu itulah yang giat diusahakan oleh Umno/BN dengan penuh istiqomah.
Akibat pergeseran dalaman pembangkang timbullah pemimpin masyarakat yang berjuang untuk kepentingan diri cuba menangguk di air yang keruh. Jawatan menjadi platform menjana kewangan.
Umno/BN menghidu semua kelemahan lawan mereka. Bermula dengan perbezaan pendapat, usaha dibuat untuk meretak dan memecahbelah pembangkang sehingga akhirnya masing-masing menjadi seteru tegar antara satu sama lain; melampaui perseteruan terhadap musuh tradisi pengamal kleptokrasi itu sendiri, iaitu Umno/BN.
Tidak sukar untuk meneliti senario politik Kuala Kedah atau di mana-mana jua pun. Demokrasi ialah seni perhitungan angka. Lebih satu undi pun, dia adalah pemenang. Dalam situasi Pakatan Rakyat berhadapan satu lawan satu dengan BN pun, sangat getir cabarannya. Menang 4-0 di Kuala Kedah tetapi tersungkur di Kedah. Inikan pula jika pembangkang berpecah kepada dua gagasan untuk berhadapan dengan BN.
Di saat Umno sedang bergelut dalam nafas nazak, mahukah pembangkang terus menjuah ego masing-masing hingga menghampakan harapan majoriti rakyat yang mahu menamatkan riwayat Umno/BN?