Sallehen Mukhyi pernah kayuh basikal dari Sabak ke Baling kabarmalay3.blogspot.com

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Saya kayuh basikal daripada Sabak ke Baling, Kedah pada tahun 1986', cerita Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hanya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tragedi Memali.
 
Ujarnya ketika itu beliau masih menuntut ditingkatan enam bawah, namun keinginannya merungkai peristiwa berdarah itu begitu kuat hinggakan beliau memutuskan untuk mengayuh basikal sejauh itu.
 
"Saya tingkatan enam bawah (ketika itu), lepas setahun peristiwa itu berlaku saya kayuh basikal daripada Sabak sampai ke Baling pada tahun 1986. Punyalah saya nak tahu peristiwa itu," ujarnya kepada Antarapos ketika ditemubual secara eksklusif baru-baru ini.
 
Sallehen kemudiannya menyorot kembali Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1984, yang padanya pencetus kepada peristiwa berdarah itu.
 
Ujarnya, pengaruh yang dimiliki guru agama bertaraf ulama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya begitu digeruni Umno pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Ustaz Ibrahim Libya seorang ulama yang saya difahamkan sebelum itu dia bekerja dalam kerajaan dan dia berhenti. Bila beliau buka pondok, orang semakin ramai datang termasuk orang Umno. Itu yang sangat ditakuti oleh orang Umno di Baling.
 
"Wakil Umno di Baling pada Persidangan Agung Umno, tahun 1984 meminta diambil tindakan apa pun kepada Ibrahim Libya sebab (dikatakan) dia melatih penganas-penganas. Mungkin pengaruh inilah yang semakin hari semakin ramai menyebabkan Umno ketika itu rasa tergugat," katanya.
 
Walhal, selepas diteliti hansard Parlimen segala dakwaan yang dilemparkan ke atas Ibrahim Libya tidak dapat dibuktikan, malah dibiarkan berlalu begitu sahaja, kata Sallehen.
 
Tuduhan pertama, Ibrahim Libya dituduh melindungi pengganas komunis. Kedua guru agama itu dikatakan memiliki senjata berbahaya dan ketiga rumahnya di daerah Siong, Baling Kedah itu dikatakan menjadi kubu pertahanan komunis.
 
"Tetapi ternyata ketiga-tiga ini tidak ada. Pada hari kejadian itu berlaku pegawai polis Kedah buat penyiasatan. Ada wakil polis yang buat penyiasatan dan pergi melihat sendiri tempat itu dan menyatakan, ianya ada masjid, ada pengajian dan tidak ada apa-apa tiga pertuduhan ke atasnya (Ibrahim Libya) itu," katanya.
 
Dalam tragedi Memali pada 1985 itu, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh termasuk Ibrahim Libya dan empat orang anggota polis.
 
"Peristiwa kepungan polis itu melibatkan 3000 polis termasuk polis hutan (ketika ini PGA). Sebahagian mereka tidak tahu hanya dimaklum operasi serang komunis. 
 
"Dimaklumkan sebahagian (daripada polis) tidak tahu yang mereka nak serang rumah seorang ulama yang sangat ditakuti Umno ketika itu," katanya. 
 
Sallehen juga memberitahu seorang daripada pegawai polis yang terlibat dalam operasi itu menulis sebuah buku berkenaan peristiwa Memali dan berkata pembunuhan Ibrahim Libya adalah satu kesilapan.
 
"Bekas OCPD Baling, Tengku Mazafar Tengku Ibrahim, selepas beliau pencen..beliau terlibat dalam gerakan membunuh Ibrahim Libya dan orang-orangnya..selepas dia pencen dia buat satu buku memori sorang polis berkaitan Memali. 
 
"Dia kata pembunuhan Ibrahim Libya adalah satu kesilapan dan dia menulis bahawa arahan daripada Bukit Aman bukan datang daripada Kabinet atau Menteri tapi daripada kepentingan politik," ujarnya.  
Justeru ujar Sallehen penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) berkaitan Memali harus dibuka untuk ia disiasat secara adil dan telus sekaligus membersihkan nama mangsa yang terlibat.
 
 

Subscribe to receive free email updates: