Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya menjadi punca kepada ketirisan ekonomi negara hari ini kerana kegagalan tadbirurus negara hingga kerajaan terpaksa melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada rakyat, demikian pandangan ahli Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini membincangkan beberapa perkara antaranya sebulat suara mengecam kenyataan di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Menteri Kewangan semalam, bahawa bagi mengukuhkan ekonomi negara antaranya pelaksanaan GST ke atas rakyat negara ini.
Menurut Pengarah Strategi AMANAH Dr Zulkifly Ahmad kenyataan perdana menteri sebelum ini dengan kutipan RM42bilion cukai ke atas rakyat hanya semata-mata untuk menyelamatkan ekonomi negara sudah pun jelas menunjukkan kegagalan pentadbiran kewangan kerajaan.
“Mengapa GST dilaksanakan kerana kegagalan pengurusan pentadbiran kewangan di era Datuk Seri Najib sebagaimana kegagalan menguruskan 1MDB dan Felda.
“Jika beliau mengatakan jangan dengar dakyah pembangkang mengenai GST beliau telah buat penafian jelas kerana kelemahan pentadbiran beliaulah telah dikenakan GST sebanyak 6 peratus,” ujarnya.
Dr Dzulkifly memetik kajian yang pernah dibuat oleh (Malaysian Institiut Ekonomic Research (MIER) beliau berkata, sentimen pengguna menunjukkan kemerosotan ke paras 86 pertus kerana tekanan hidup rakyat kesan daripada pelaksanaan GST ke atas rakyat.
“Sama ada golongan miskin, kaya, warga emas, kanak-kanak telah dikenakan cukai. Ini kerana kegagalan urus tadbir kewangan negara.
“Jika dilihat pada 2006 hutang kerajaan RM306 bilion tetapi di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib melonjak RM655 bilion setiap tahun beliau kembali ke Parlimen untuk minta tambahan bajet.
“Pandangan kami dalam PH selagi ketirisan tidak ditangani, macam tempayan bocor...macamana pun kita cuba tingkatkan ekonomi dengan pengenalan cukai GST tidak dapat memenuhi tempayan itu kerana ia tetap bocor. Dan bebanan akan ditanggung rakyat,” ujarnya.
Majlis Setiausaha PH merujuk kepada kenyataan Najib semalam, ketika bercakap pada sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dipetik berkata, antara lainnya kerajaan tidak boleh membelanjakan kesemua wang yang ada kerana jika kerajaan berbuat demikian, ia bakal berdepan masalah kewangan.
"Kalau semua nak tambah peruntukan, duit bukan datang dari langit. Kita perlukan hasil untuk negara, sebab itu kita laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).
"Kalau kita hapuskan GST yang banyak digunakan untuk (membiayai) keperluan rakyat terutama wanita seperti program kesihatan dan kemahiran, apa lagi yang boleh kita buat?" kata Najib.
Justeru, Najib meminta rakyat supaya tidak termakan dengan kata-kata pembangkang yang mahu hapuskan GST kerana ia hanya cakap kosong untuk meraih sokongan.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin pula menjelaskan, kenyataan Najib itu begitu ironi terhadap golongan wanita kerana golongan wanita memegang kuasa pembeli terbesar berbanding golongan lelaki.
“Ini satu kenyataan ironi daripada Datuk Seri Najib kerana wanita adalah pengguna terbesar kerana terpaksa membiayai kos membeli barangan pengguna untuk keperluan keluarga.
“Wanita dibebankan dengan begitu teruk sekali dan perdana menteri kata kerana “gst lah adanya program wanita’ . Ia satu penghinaan bagi golongan wanita yang dimangsakan dalam isu ini.
Sebenarnya ia tidak munasabah dan kerajaan perlu cari jalan bantu golongan wanita,” ujarnya.
Manakala Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dengan nada sinis mengucapkan taniah kepada Datuk Seri Najib kerana hanya dengan GST ujarnya, perdana menteri dapat menyelamatkan ekonomi negara.
“Nak ucap terima kasih pada Datuk Seri Najib kerana umum hanya GST dapat penyelamatkan ekonomi negara, yang difahami maksudnya ekonomi dah teruk melalui cukai rakyat untuk selamatkan negara.
“ Bukan dengan menambahkan pengeluaran dalam negara tetapi formula Najib ialah mengenakan cukai ke atas rakyat...pengakuannya bahawa tangannya telah merosakkan ekonomi negara. Sama ada dia sedar atau inginkan begitu atau mengakui sebenarnya ekonomi negara telah rosak,” ujarnya.