Krisis yang berlaku dalam rumahtangga penyanyi ketuhanan, Hafiz Hamidun dengan isterinya mendapat perhatian umum di media sosial.
Penulis tidak mahu mengulas samada pernikahan mereka yang berlangsung pada 1 Mei 2017 adalah sah ataupun tidak kerana kes tersebut telah difailkan di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 18 Ogos 2017 yang lalu.
Namun, penulis tertarik untuk mengulas terhadap isu asal permasalahan tersebut timbul berdasarkan kenyataan daripada kedua-dua pihak di media sosial.
PENTINGNYA MENDAFTARKAN PERNIKAHAN DI MALAYSIA
Punca utama yang menyebabkan krisis tersebut berlaku adalah kerana pihak perempuan iaitu Siti Arifah gagal menunjukkan sebarang dokumen penceraian daripada perkahwinan terdahulu.
Siti mendakwa telah diceraikan melalui aplikasi whatapps oleh suaminya setelah ditinggalkan sejak tahun 2015.
Beliau beranggapan bahawa talak tersebut sah dan yakin beliau bukan lagi isteri mana-mana pihak semasa memfailkan pendaftaran nikah dengan Hafiz.
Namun satu perkara yang mesti difahami oleh semua pihak bahawa lafaz talak melalui whatapps atau sms dikira sebagai lafaz kinayah.
Lafaz tersebut tidak jelas dan perlu kepada niat si pelafaz.
Dalam situasi ini, kedua-dua pihak mesti memfailkan pengesahan lafaz talak di mahkamah bagi menentukan samada jatuh talak atau tidak.
Selagi tidak mendapat pengesahan daripada mahkamah, pernikahan tersebut masih lagi tidak terbatal.
Apa yang menjadi persoalan, bolehkah permohohan pengesahan lafaz talak difailkan di mahkamah syariah di Malaysia?
Undang-undang di Malaysia menetapkan bahawa semua pernikahan yang dilakukan di luar negara mestilah didaftarkan di negara dalam tempoh masa tertentu.
Dalam kes Siti Arifah ini, beliau dan suami terdahulu, Datuk Rayos gagal untuk mendaftarkan pernikahan mereka yang dilangsungkan di Wilayah Songkhla, Thailand.
Sehingga lafaz talak yang dikatakan dibuat menerusi whatapps, mereka masih belum mendaftarkan pernikahan mengikut undang-undang negara.
Kesannya, Siti tidak boleh memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak di mana-mana mahkamah syariah.
Bagi menyelesaikan isu tersebut, beliau dan suami terdahulu perlu mendaftarkan penceraian mereka di tempat mereka berkahwin dahulu.
Menurut kenyataan dari mereka, proses tersebut hanya dibuat pada Jun 2017 iaitu setelah akad nikah Siti Arifah dengan Hafiz dijalankan.
Namun, apa yang difailkan di sana bukanlah permohonan pengesahan lafaz cerai tetapi tuntutan penceraian secara taklik.
Kedua-dua proses mempunyai kesan yang berbeza dan telah terbukti bahawa Siti telah sah bercerai secara taklik bermula pada 13 Julai 2017 iaitu setelah akad nikah dijalankan bersama Hafiz pada 1 Mei 2017.
Keputusan samada nikah yang dijalankan pada 1 Mei 2017 tersebut sah atau tidak hanya boleh ditentukan oleh mahkamah syariah.
Seandainya tidak sah, pernikahan tersebut mestilah difaraqkan.
FUNGSI SURAT CERAI
Apa yang menjadi persoalan, bagaimanakah mereka boleh diakadnikahkan sedangkan tiada surat cerai dilampirkan semasa permohonan.
Semua pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini harus teliti dan tegas menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan.
Jika mana-mana pihak yang telah berkahwin namun gagal untuk mengemukakan surat cerai, permohonan mereka hendaklah ditangguhkan sehingga cukup semua dokumen yang diperlukan.
Peraturan yang di buat adalah bertujuan mencegah isu-isu seperti ini berlaku.
Bayangkan kesan yang berlaku sekiranya pasangan tersebut tidak memfailkan faraq nikah sehingga usia perkahwinan menjangkau bertahun-tahun dan mempunyai anak.
Apa yang jelas dalam kes ini, semua pihak gagal memainkan peranan masing-masing.
Siti Arifah dan suami terdahulu gagal untuk mendaftarkan pernikahan dan penceraian mereka mengikut undang-undang.
Kesannya turut dirasai oleh anak yang dilahirkan oleh pasangan tersebut ketika mahu mendaftarkan kelahirannya.
Hafiz Hamidun gagal untuk bersabar sementara menunggu proses penceraian Siti dengan suami terdahulu selesai.
Beliau jelas sudah maklum dengan perkara tersebut sejak dari awal perkenalan sehingga majlis akad nikah dijalankan.
Sekiranya beliau bersabar, perkara ini tidak akan timbul.
Pejabat Agama Petaling Jaya turut perlu bertanggungjawab kerana membenarkan pernikahan dijalankan sedangkan Siti gagal menunjukkkan dokumen yang paling penting iaitu surat cerai.
Tidak kira apa alasan yang diberikan, seharusnya pejabat agama bertegas dalam menjalankan fungsinya.
Kesimpulannya, semua pihak harus celik tentang ilmu perkahwinan ini kerana segala apa yang digariskan oleh syarak adalah untuk menjaga institusi kekeluargaan dan memelihara keturunan.
Waallahualam..
oleh: sahabatsyarie