Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berkata, amanat tersebut dipercayai menjadi inspirasi kepada pengikut Pas ketika itu, dengan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya, salah seorang yang memegang teguh amanat itu.
“Ibrahim adalah seorang pengikut Pas tegar dan aktif. Dia betul-betul taksub dengan Amanat Hadi. Dia pernah belajar agama di Libya dan sebab itu digelar Ibrahim Libya,” kata Rahim yang dipetik daripada portal berita, The Malaysian Insight.
Dakwanya, terdapat dua elemen boleh diambil berdasarkan amanat berkenaan, diluahkan Hadi dalam ceramahnya di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, 7 April 1981.
Elemen pertama, Abdul Hadi mengatakan Muslim tidak perlu memeluk agama lain untuk menjadi kafir, sebaliknya mereka boleh tergolong sebagai orang kafir dengan tidak mengamalkan agama sepenuhnya dalam kehidupan seharian, termasuk dalam kegiatan politik.
“Kedua, dia kata perjuangan mereka adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” katanya.
Ditanya keperluan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat insiden itu, Rahim berpendapat, Amanat Hadi mungkin ada peranan tercetusnya tragedi Memali, yang mengorbankan 18 nyawa.
“Jika RCI diadakan, tidak dapat dielakkan hakikat peranan Abdul Hadi melalui Amanat Hadi sehingga berlaku tragedi Memali,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sekiranya RCI Memali ditubuhkan, Abdul Hadi mungkin antara individu dipanggil beri keterangan.
“Beliau mungkin perlu memberikan keterangan berhubung amanatnya sekiranya RCI Memali ditubuhkan.
“(Bagi saya), isu ini sekadar hendak memesongkan rakyat kepada isu lebih besar ketika ini iaitu 1MDB dan skandal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga Malaysia dilabel negara kleptokrasi,” tegasnya