KUANTAN: Sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berkaitan kes perlombongan haram di sekitar bandar ini.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan kesemua kakitangan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Semua suspek yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan dalam serbuan SPRM antara pukul 3.30 petang hingga 3.45 petang semalam, di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.
Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit secara haram meskipun kerajaan mengenakan perintah moratorium sejak 15 Januari 2016 yang sepatutnya tamat pada 31 Disember ini.
Dalam operasi semalam, SPRM menyerbu pejabat PTG negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Pelabuhan Kuantan bagi merampas beberapa dokumen berkaitan.
Selain itu, SPRM turut menahan sebanyak 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong-lombong haram di sekitar Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Sagu tengah malam semalam.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berusia 56 tahun ditahan dan ditahan reman sehingga 8 Ogos ini