[ULANGAN setelah 8 Tahun] Isu ekuiti Bumiputera: Soi Lek menentang Perlembagaan kabarmalay3.blogspot.com



Sebelum berbicara tentang kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek supaya ekuiti bumiputera dikurangkan, eloklah kita ulangkaji sedikit tentang ‘kejuruteraan sosial’ yang telah negara lakukan demi pepaduan semua rakyatnya. Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Negara yang merangkumi dasar-dasar ekonomi, dasar-dasar sosial dan dasar-dasar luar negeri. Dalam memastikan keseimbangan sosial, dasar-dasar ekonomi Negara memainkan peranan yang cukup besar dan ianya telah berjaya mengekalkan perpaduan kaum dinegara ini walaupun sentiasa cuba digugat oleh mereka yang mementingkan perut sendiri sahaja tanpa menghiraukan orang lain. Dasar ekonomi Negara terdiri daripada dasar-dasar sektoral, perancangan jangka panjang, sederhana dan pendek seperti Wawasan 2020, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pengkorporatan Malaysia, Dasar Penswastaan, Pembangunan Luar Bandar dan Dasar-Dasar Sektoral (ICT, Perusahan Kecil Dan Sederhana, Pembuatan dan Pengagihan Dagangan).


Pelan Rangka Perspektif (OPP) atau turut dikenali dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) menetapkan teras dan strategi yang luas di dalam agenda pembangunan negara dalam jangkamasa panjang. Ia menetapkan rangka kerja makro-ekonomi dan sasaran jangka panjang untuk mencapai wawasan masyarakat. RRJP bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), dikuti dengan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010), Wawasan 2020 (1991 – 2020) dan Dasar Baru Ekonomi (2011-2020). Pelan jangka sederhana pula ialah perancangan untuk tempoh lima-tahun yang dikenali dengan Rancangan Malaysia (RMK) umpamanya Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015). Pelan ini dirumus berdasarkan lingkungan rangka kerja yang ditetapkan oleh Pelan Rangka Perspektif. Pelan pembangunan lima tahun menetapkan sasaran perkembangan makro-ekonomi dan juga saiz dan peruntukan untuk program pembangunan sektor awam dan peranan indikatif yang dijangkakan bagi sektor swasta. Manakala, Perancangan Jangka Pendek pula adalah merupakan Bajet Tahunan.

Perancangan Pembangunan di Malaysia bermula pada tahun 1950 dengan penerbitan Draf Pelan Pembangunan Malaya. Dari 24 dokumen perancangan pembangunan yang telah disediakan hingga kini, tiga daripadanya adalah merupakan pelan rangka prospektif, 12 pelan pembangunan lima-tahun, termasuk Draf Pelan Pembangunan Malaya yang diperuntukkan dalam jangkamasa enam-tahun; dan penyemakkan semula pertengahan penggal, (MTR). Tajuk-tajuk pelan pembangunan termasuk semakan semula pertengahan penggal adalah seperti berikut:


* Jangkamasa 6 tahun C - Kumulatif IC – Bab Individu

Dasar Ekonomi Baru adalah merupakan Rancangan Pembangunan Ekonomi secara berperingkat selama 20 tahun (1971-1990). Sebelum 1970, polisi pembangunan Malaysia disasarkan terutamanya untuk menggalakkan perkembangan dengan penekanan yang lebih ke atas pasaran eksport. Walaupun ekonomi berkembang dengan cepatnya dalam tempoh sebelum 1970 pada purata tahunan 6.0 peratus, namun terdapat kekurangan penekanan dalam aspek pengagihan yang telah menghasilkan ketidakseimbangan di antara kumpulan etnik dengan memberi kesan negatif sosial dalam bentuk rusuhan kaum pada tahun 1969. Pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) pada tahun 1971 merupakan sejarah pelan ekonomi Malaysia. NEP menekankan pentingnya bagi mencapai sasaran sosio ekonomi seiring dengan mencapai objektif perkembangan ekonomi sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan perpaduan di dalam negara yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik dan agama. Sasaran utama adalah perpaduan negara.

Salah satu aspek penting NEP adalah berada di premis ekonomi yang berkembang pesat. Perkembangan adalah syarat yang perlu untuk menyediakan peluang bagi yang miskin dan golongan yang kurang bernasib baik untuk membolehkan mereka keluar dari kemiskinan dan turut serta di dalam aktiviti aliran utama ekonomi. Tambahan lagi, ia memastikan yang bahawa pengagihan tidak berlaku dari peruntukan semula kekayaan yang ada tetapi dari pengembangan dan punca baru kekayaan. Perlaksanaan strategi untuk membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyakat menghasilkan kemajuan yang ketara dalam pengagihan pendapatan menjelang 1990. Kadar isi rumah yang hidup di bawah taraf kemiskinan menurun dari 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990 dan menurun lagi kepada 5.1 peratus pada 2002.

Dalam istilah penstrukturan ekuiti korporat, lebih dari dua per tiga ekuiti korporat di Malaysia dimiliki oleh warga asing pada tahun 1970, sementara Bumiputera, kaum pribumi yang mewakili dua pertiga dari jumlah penduduknya, memiliki hanya lebih sedikit dari 2 peratus. NEP menetapkan sasaran penstrukturan berupa 30:40:30, di mana menjelang 1990, pegangan kaum Bumiputera patut mencapai 30 peratus, rakyat Malaysia yang lain 40 peratus dan warga asing 30 peratus, di dalam konteks ekonomi yang berkembang. Pada tahun 1990, bahagian ekuiti Bumiputera bertambah kepada 20.4 peratus dari keseluruhan jumlah ekuiti korporat, dan pegangan rakyat Malaysia yang lain bertambah kepada 46.8 peratus dan 25.1 peratus untuk warga asing. Walaupun Bumiputera tidak mencapai sasaran 30 peratus pegangan ekuiti menjelang 1990, kemajuan yang dihasilkan oleh mereka adalah cukup baik berbanding dengan kedudukan mereka pada tahun 1970.

Berbalik kepada isu tuntutan terbaru MCA, saya berpendapat kita semua perlu faham kehendak keseluruhan rakyat Negara ini. Pilihan ditangan kita semua, Adakah kita mahu bertelagah, bergaduh atau berperang sesama sendiri demi fahaman sempit segelintir penghasut kaum seperti yang berlaku di beberapa Negara lain. Dendam kesumat yang membara antara kaum yang akhirnya membawa kepada pembunuhan etnik beramai-ramai yang tidak berkesudahan. Atau kita mahu Malaysia ini maju, aman, ekonomi berkembang dan kita semua boleh hidup makmur di bumi bertuah ini? Saya yakin dan percaya, majoriti rakyat Negara ini inginkan keamanan, kesentosaan dan tenang mencari rezeki membesarkan anak-anak yang bakal mewarisi bumi Malaysia yang dicintai.

Parti-parti politik tertentu termasuk pemimpin mereka pada masa ini telah berjaya dipengaruhi oleh gologan yang dikenali oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee sebagai ‘Ultra Kiasu’ atau saya akan kenali mereka dengan nama ‘gangster politik’. Gangster politik yang saya maksudkan ini ialah mereka yang jahat tetapi berlagak baik seolah-olah merekalah pejuang demokrasi yang terunggul di dunia. Namun sebaliknya mereka ini hanya menunggani demokrasi demi mencapai matlamat sempit kaum mereka semata-mata tanpa menghiraukan perasaan dan sensitiviti kaum-kaum lain di Negara ini. Mereka ini buta sejarah atau sengaja membutakan mata dan fikiran demi kepentingan mereka semata-mata. Mereka lupa dan tidak bersyukur dengan apa yang mereka perolehi di mana telah melebihi daripada sepatutnya. Mereka seumpama Firaun dan Qarun yang tidak pernah puas dengan kuasa dan kekayaan yang mereka miliki. Mereka tidak kenal erti perpaduan, erti persahabatan, erti kerjasama, erti ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’, erti ‘secubit sama-sama kita rasa sebakul sama-sama kita nikmati’.

Berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan, bilangan rakyat Malaysia pada tahun 2008 adalah seramai 25.071 juta orang dengan bilangan kaum Bumiputera seramai 16.511 juta atau 66%, Cina seramai 6.336 juta (25%), India seramai 1.885 juta (8%) dan lain-lain seramai 0.340 juta (1%). Kaum Bumiputera adalah merupakan majoriti dalam Negara ini, namun kedudukan ekonomi kaum Cina jauh meninggalkan kaum Bumiputera dan kaum-kaum lain. Analisa dan angka-angka berikut menceritakan keadaan ekonomi sebenar mengikut kaum sama ada kita mahu menerimanya atau tidak.





Daripada analisa dan maklumat tersebut, jelaslah kepada kita bahawa kaum Bumiputera masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan populasi kaum Bumiputera yang mewakili 66% rakyat Negara ini. Justeru tiada apa yang sepatutnya pertikaikan mengenai ekuiti Bumiputera oleh Soi Lek. Belajarlah bagaimana mantan jurutera-jurutera yang telah membina Negara dengan perancangan dan dasar ekonomi yang telah terbukti berjaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian kaum selama ini. Belajarlah juga daripada peristiwa berdarah rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969 akibat ketidaksembangan ekonomi. Peringatan ini juga ditujukan kepada segelintir Melayu yang tidak faham erti pembinaan Negara yang mencadangkan agar dihapuskan keistemewaaan orang Melayu agar persaingan boleh berlaku di padang yang sama rata kononnya. Dalam keadaan padang yang sememangnya sudah tidak sama rata pada masa ini yang menyebelahi kaum Cina, cadangan sebegini umpama meletakkan batu di atas orang bertatih untuk berdiri. Kita perlu menyelami lebih jauh daripada itu, ketidakseimbangan yang melampau boleh mencetuskan petaka yang lebih dahsyat. Jangan hanya kerana kita dilahir dan dibesarkan di bandar besar dengan kemewahan yang melimpah ruah, kita lupa kepada kaum Bumiputera di luar bandar dan di desa yang ketinggalan.

Disamping itu, kita juga harus faham tentang Perlembagaan Persekutuan yang dirangka melibatkan pelbagai kaum dan tidak dicipta oleh orang Melayu semata-mata. Perkara 153 memberi hak kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak dan pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang. Seperti kata Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Perlembagaan bukanlah perkara yang diamalkan begitu saja, tetapi ianya sudah diterima oleh semua yang menjadi pihak kepada kontrak sosial pada tahun 1956 semasa Suruhanjaya Reid ditubuhkan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan dan seterusnya sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dimaktubkan.

Janganlah kita tergesa-gesa kononnya hendak mengikuti cara orang Barat yang memberi hak sama rata kepada semua. Amerika Syarikat telah merdeka selama lebih daripada 230 tahun iaitu pada 4 Julai 1776 yang pada masa itu terdapat negeri-negeri individu yang diperintah oleh Great Britain. Mereka yang mengagungkan Barat sebenarnya lupa sejarah tentang bagaimana keadaan di Amerika Syarikat sejak kemerdekaannya. Umpamanya rusuhan yang terjadi di antara penduduk kulit putih dan hitam pada tahun 1943 semasa Perang Dunia Kedua dan rusuhan kaum yang berlaku pada tahun 1967 di Detroit selama lima hari yang mengorbankan seramai 43 orang , 1189 cedera dan lebih 7000 orang ditahan. Untuk sampai kepada keadaan sekarang, mereka telah melalui pelbagai rintingan dan halangan yang boleh dijadikan panduan kepada kita. Janganlah terburu nafsu, nanti padah yang menimpa. Jangan hanya kerana berebutkan secakir air di lantai tempayan, seluruh tempayan dipecahkan. Janganlah memberi peluang langsung kepada 'Gangster Politik' untuk menyelinap masuk di celah-celah kita jika perpaduan dan keamanan yang kita inginkan selamanya.

#CelahGelegar

Artikel ini dikeluarkan pada 28 Aug 2010. Diterbitkan semula untuk renungan. Pada hari ini, 5 Dis 2018, Ekuiti Bumiputera bertambah atau berkurang?? 

Subscribe to receive free email updates: