PUTRAJAYA 9 Dis.- Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui merindui untuk turun ke jalanan seperti mana dilakukan beliau sewaktu menjadi pembangkang satu ketika dahulu.
Menurut Menteri Pertahanan itu, kakinya 'terketar-ketar' untuk mengikut perhimpunan yang berlangsung di ibu negara semalam.
Beliau merujuk perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812.
"Rindu juga hendak turun ke jalanan, lebih-lebih ketika perhimpunan baru-baru ini. Tetapi saya dah lupa rupanya saya dah jadi menteri," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Amal Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhimpunan yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini itu membuktikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendukung prinsip kebebasan bersuara rakyat.
Kata Menteri Dalam Negeri itu, tidak seperti kerajaan sebelum ini yang bertindak menghalang gerakan reformasi sehingga memenjara mereka yang terlibat dalam perhimpunan.
"Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara , Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa perhimpunan di Ibu negara semalam berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
"Saya hendak katakan bahawa hala tuju PH adalah jelas iaitu untuk mendaulatkan undang-undang demi rakyat serta masa depan kita," katanya. - UTUSAN ONLINE