SUBANG - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, sebentar tadi.
Mahathir tiba kira-kira jam 8.30 pagi tadi di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Subang, di sini.
Jenazah Allahyarham Muhammad Adib kemudian diterbangkan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah jam 8.50 pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia.
Sebelum itu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di pekarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.
Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. - SH #CelahGelegar