Kekecohan bermula apabila kira-kira 10 mahasiswa daripada Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) cuba melakukan sidang akhbar di lobi Parlimen tetapi dihalang pihak pengawal keselamatan.

Situasi kembali terkawal apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim hadir mendengar keluhan mereka dan bersetuju untuk menyampaikan mesej mereka kepada Maszlee.

Wakil mahasiswa, Sharan Raj dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) berkata, mereka menuntut Kementerian Pendidikan memansuhkan Auku Seksyen 15 dan 16 bukan sekadar menggugurkan dua bahagian dalam seksyen itu.

“Seksyen 15 dan 16 itu membenarkan naib canselor untuk membubarkan persatuan pelajar dan menghukum pelajar.

“Keputusan kerajaan ini dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri yang menguntungkan parti politik sahaja, bukannya untuk manfaat semua pelajar,” katanya.

Ketika dibawa keluar dari bangunan Dewan Rakyat, kedengaran suara yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan menghalau mereka.

“Kami dah berjuang memenangkan PH, tak sangka kami dilayan seperti ini,” kata salah seorang pelajar itu. - UTUSAN ONLINE  #CelahGelegar