GAMBAR Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta lima lagi pemimpin parti itu bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tular di media sosial hari ini disahkan adalah tulen.
Menurut Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, gambar berkenaan bagaimanapun bukan gambar baharu dan ia diambil pada 22 Oktober lalu.
“Ceritanya begini. Ia berlaku pada 22 Oktober atas permintaan watak-watak dalam gambar ini. Perdana Menteri yang dulu mereka maki dan caci jamu mereka makan malam.
“Kalau zaman raja-raja dulu kala boleh jadi dah mati kena racun. Mesti ada di kalangan mereka yang berharap pertemuan dengan Tun Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat. Tetapi mereka silap besar. Pada 15 November Adnan Mansor dituduh di mahkamah kerana rasuah," katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

A Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, perjumpaan dengan Perdana Menteri adalah perkara biasa manakala keluar masuk parti juga adalah perkara biasa.
Namun beliau menegaskan jenayah adalah tetap jenayah.
Menerusi foto yang tersebar itu, Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan tersenyum bergambar dengan Dr Mahathir.
Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut ditularkan.
Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan ada juga menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.
Selain itu, ia turut menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin UMNO kini dalam persiapan untuk keluar parti berkenaan. #CelahGelegar