IPOH 7 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad mendakwa gerakan menjatuhkan Menteri Besar yang didalangi oleh Exco Kerajaan Negeri, Dr. Abdul Aziz Bari tidak menjanjikan habuan wang sebaliknya dua daripada lima wakil rakyat UMNO ditawarkan sebagai Exco kerajaan negeri atau mana-mana jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Saarani berkata, perkara itu dinyatakan dalam dua daripada lima pengakuan bersumpah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipanggil memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Menurut beliau, kelima-lima pengakuan itu mempunyai persamaan dari segi tujuan dengan menyebut dakwaan Abdul Aziz bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menunjukkan prestasi baik malahan Naib Pengerusi DAP Perak itu mendakwa memiliki sokongan 18 wakil rakyat DAP dan masing-masing empat Amanah serta PKR.
Dakwa beliau, Exco terbabit memerlukan empat lagi ADUN bagi memperoleh keseluruhan 30 sokongan untuk menjadi Menteri Besar.
Katanya, kelima-lima ADUN itu bertanyakan kepada Abdul Aziz modus operandi untuk menjadi Menteri Besar dan menurunkan Menteri Besar sedia ada.
“Dia jawab, dapat sahaja empat tandatangan empat orang UMNO ini, dia akan bawa lagi tandatangan sokongan (18 DAP, masing-masing empat Amanah dan PKR) untuk berjumpa Tuanku (Sultan Perak) dengan sokongan orang besar dan berpengaruh dari Putrajaya.
“Jadi, dalam kepercayaan dia, Tuanku akan menurunkan Ahmad Faizal dan melantiknya sebagai Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini, selepas turut sama diminta mengesahkan kelima-lima akuan bersumpah tersebut selama lima jam di Bangunan SPRM Perak, semalam.
Dalam pada itu, Saarani berkata, beliau yakin 100 peratus bahawa kesemua 25 wakil rakyat UMNO tidak mengikut rentak dimainkan oleh Abdul Aziz kerana mereka adalah rasional dan perbuatan menyokong tindakan itu jelas salah serta tidak demokratik.
Menurutnya, penyokong kerajaan banyak menyalahkan pihaknya seolah-olah menimbulkan kecelaruan, namun jika Ahmad Faizal sendiri menganggap dakwaan tersebut sebagai cerita bohong, maka terpulang kepadanya kerana beliau tidak mahu Barisan Nasional (BN) dipersalahkan. --Utusan #CelahGelegar