NGO gesa Khalid Samad batal Oktoberfest kabarmalay3.blogspot.com

PUTRAJAYA1 Safar 1440HRabu – Gerakan Srikandi Malaysia menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menghalang penganjuran pesta arak Oktoberfest 2018 yang akan berlangsung di ibu negara, esok.
Penerajunya, Wan Asshima Kamaruddin berkata, memorandum bantahan pesta arak 2018 telah diserahkan kepada wakil Kementerian Wilayah Persekutuan.
Katanya, acara tahunan Oktoberfest perlu dibatalkan kerana ia mencemarkan kedudukan agama Islam dan integriti orang Melayu, dan menjadi penyebab gejala sosial terus meningkat.
“Kami Gerakan Srikandi Malaysia mendesak agar Menteri Wilayah Persekutuan dan menteri-menteri berkaitan untuk mengambil tindakan segera, supaya gejala sosial tidak akan terus memusnahkan masa depan negara.
“Oktoberfest berasal dari Jerman, dan tidak ada kena mengena dengan budaya dan sejarah negara kita, jadi tidak ada kewajaran untuk menyambutnya, kedatangan acara ini ibarat anasir luar yang menganggu gugat dan merosakkan imej Islam,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian di pekarangan Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Lebih parah Asshima berkata, pesta arak itu diadakan di lokasi awam, pusat beli belah Mid Valley yang mudah diakses dan secara tidak langsung menarik minat anak muda Melayu Islam.
“Kami mendesak agar penganjur memahami majoriti penduduk di sini Melayu Islam sebanyak 65 peratus dan kedatangan festival ini ternyata menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Bahkan dalam poster festival arak ini juga tidak menyatakan sekatan ke atas orang Melayu Islam untuk menyertainya,” katanya.
Oktoberfest 2018 yang akan berlangsung esok di Mid Valley mengandungi pengisian festival makanan, hiburan, muzik dan arak.
Sebelum ini, pesta arak telah diadakan pertama kalinya pada tahun 2012 – sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan kehadiran lebih kurang hanya 200 orang pengunjung.
Pada tahun 2016, pesta ini diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak dihadiri oleh 3,500 orang.
Pada tahun lepas pula, Better Beer Festival yang dianjurkan oleh pengedar bir MyBeer (M) Sdn Bhd yang mana acara utamanya ialah untuk merasai produk pengeluar bir bebas. - ismaweb

Subscribe to receive free email updates: