Azis Jamman tak sesuai jadi timbalan menteri, kata Surendran kabarmalay3.blogspot.com


Seorang penasihat kumpulan hak asasi membidas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mempertahankan polis menggunakan Akta Hasutan menahan adik kepada seorang pemimpin Umno.
Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran menerusi Twitternya berkata, ahli Parlimen Warisan itu tidak sesuai menjadi timbalan menteri.
“Mengarut bercakap mengenai SOP polis,” katanya merujuk prosedur operasi standard.
“Beliau patut mendapatkan salinan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan membacanya.”
Hari ini, Azis dilaporkan berkata, akta kontroversi itu akan terus digunakan sehingga ia dipinda atau dimansuhkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Azman Noor Adam, adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.
Azis dilaporkan berkata, polis sekadar mematuhi SOP ketika menahan Azman, Selasa lalu, selepas menerima laporan mendakwa beliau memuat naik sekeping gambar yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.
Sebelum pilihan raya umum ke-14, PH berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan, Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Anti-berita Tidak Benar jika menang pada 9 Mei lalu.
Terdahulu, Dr Mahathir hari ini tidak bersetuju dengan tindakan dikenakan ke atas Azman.
Katanya, ahli politik perlu terima apabila dikritik dan beliau dipanggil dengan banyak nama semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun, tetapi tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.
“Saya tidak kisah dicela oleh sesiapa, ia tidak akan menjejaskan saya. Ada satu kes di Pulau Pinang dan saya beritahu mereka (polis) agar tidak mengambil sebarang tindakan yang seumpamanya.” - fmt

Subscribe to receive free email updates: