Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mendakwa, hal ini kerana trend semasa menyaksikan suara sumbang berkenaan semakin banyak berikutan daripada tindakan PH sewaktu masih menjadi pembangkang begitu menggalakkan rakyat untuk bersuara dan melakukan reformasi sehingga mereka menjadi begitu liberal.
Ujarnya, slogan Malaysia baharu juga merupakan suatu isyarat salah kerana bukan semua perkara perlu diperbaharui atau boleh dikritik kerana masih terdapat banyak usaha yang kerajaan terdahulu laksanakan memberi kesan baik.
“Dalam bersuara perlukan had, kita boleh mengkritik pelaksanaan tetapi bukan dasar negara yang sudah kukuh dan tersemat baik. Dalam hal ini, kerajaan baharu jangan bersikap seperti mahu menjadi hero dengan ingin menukar semua perkara yang telah dilaksanakan kerajaan terdahulu.
“Dalam masa sama, rakyat juga perlu sedar bukan semua benda boleh dikritik, mereka perlu sedar di mana batas dan sempadannya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.
Semalam, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan rasa bimbang kerana akhir-akhir ini terdapat suara-suara ‘sumbang’ yang mempertikaikan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan.
Baginda bertitah, pada masa sama, terdapat juga pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara.