Semua saman AES sejak 2012 dibatalkan - Loke kabarmalay3.blogspot.com


PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) --  Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan sejak 2012 dibatalkan, demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini. 

Pembatalan itu pula membabitkan 3.1 juta saman dengan nilai bayaran kira-kira RM435 juta. 

"Kerajaan juga bersetuju tidak akan menyambung kontrak syarikat pengendali AES yang akan tamat hujung bulan ini," katanya pada sidang media di sini, dan menambah bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan AES diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept ini.

Loke berkata pembatalan itu adalah bersifat one-off iaitu kerajaan tidak akan lagi memberi sebarang diskaun terhadap saman AES sepanjang penggal pemerintahan Pakatan Harapan. 

Beliau berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan hanya 18 peratus daripada mereka yang disaman tampil membuat bayaran dengan kutipan tidak lebih RM700,000.

Mengenai kemungkinan berlakunya penambahan kos operasi kepada JPJ berikutan pengambil alihan itu, Loke berkata perkara itu tidak dapat dielakkan. 

"Tetapi kita kena ingat, bayaran saman yang dikutip selepas ini akan masuk ke dalam akaun kerajaan berbanding yang dilaksanakan syarikat konsesi sebelum ini," katanya. 

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi menentukan hanya lokasi yang benar-benar diklasifikasikan sebagai kawasan kemalangan akan diletakkan dengan kamera pengawasan itu. 

"Kita juga belum dapat menentukan mengenai bilangan kamera AES yang akan dipasang, sama ada 1,000 buah seperti ditetapkan pengendali sebelum ini atau kurang daripada itu," katanya. 

-- BERNAMA

Subscribe to receive free email updates: