PULAU PINANG 8 Ogos - Pemuda UMNO negeri menyifatkan kenyataan wakil Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri yang tidak bersetuju dengan tindakan menurunkan poster mempromosikan ikon Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) pada satu festival di sini sebagai hari menyedihkan untuk rakyat negeri ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, ini kerana LGBT merupakan budaya songsang yang ditolak semua agama dan tidak ada sebab untuk diperjuangkan lagi.
Katanya, beliau bersetuju dengan tindakan menurunkan poster berkenaan kerana ia memberi kesan kepada golongan remaja yang menghadiri pameran berkenaan.
"Berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender serta Agama selain Islam negeri, Chong Eng, saya ingin mencabar kerajaan negeri supaya menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama mengiktiraf LGBT," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Norhiesam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chong Eng yang tidak bersetuju dengan tindakan pihak tertentu menurunkan poster yang mempromosi ikon LGBT sempena Festival Georgetown yang berlangsung sejak 4 Ogos lalu hingga 2 September depan.
Menurut Chong Eng, ini kerana tindakan berkenaan sebagai diskriminasi berdasarkan seksual orientasi dan tindakan berkenaan tidak boleh diterima.
Mengulas lanjut, Norhiesam berkata, sebagai salah seorang pemimpin tertinggi di negeri ini, Chong Eng sepatutnya lebih mengetahui sensitiviti masyarakat terhadap perkara ini. - UTUSAN ONLINE