28 Zulkaedah 1439H, Jumaat – Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad memberi amaran kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia yang menyokong dua aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), supaya tidak masuk campur dalam hukum-hakam Islam di negara ini.
Beliau menegaskan, mereka yang mempunyai fahaman Barat tidak seharusnya ikut masuk campur dalam budaya Timur dan agama Islam di Malaysia.
Kenyataan itu, katanya, bukan sahaja boleh mencetuskan provokasi, ia juga mungkin menjadi pemangkin kepada perpecahan masyarakat Malaysia khususnya penganut Islam.
“Amerika (Kedutaan AS) bukan orang Islam, tidak perlu masuk campur dalam hukum-hakam Islam. Kenyataan mereka ini boleh mencetuskan provokasi dalam kalangan masyarakat Malaysia, sekali gus mendorong kepada reaksi negatif orang bukan Islam di sini.
“Mereka jangan cuba untuk ‘import’ budaya songsang, anarkisme mereka ke dalam budaya kita iaitu masyarakat Timur terutamanya Melayu,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sokongan terbuka Kedutaan AS terhadap Nisha Ayub, seorang aktivis LGBT yang diturunkan gambarnya oleh pihak berkuasa pada Festival Georgetown di Pulau Pinang. - ismaweb