Barjoyai Bardai berkata kerajaan dijangka akan kehilangan lebih RM20 bilion pendapatan setahun dengan pelaksanaan SST. (Gambar Facebook) |
Penguatkuasaan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menyebabkan harga barangan akan naik dan tidak mengubah harga perkhidmatan kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga mengenakan jumlah yang sama, kata penganalisis ekonomi.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Utar) Prof Barjoyai Bardai berkata cukai jualan pada kadar 10% menyebabkan harga barang di kedai runcit atau pasar raya akan naik sebanyak 10%.
“Bila dia (kerajaan) perkenalkan SST, dia akan cukai pada kadar 10% ke atas pengilang. Kalau pengilang mengutip cukai ini daripada pemborong, pemborong menjual kepada peruncit, akan termasuk cukai jualan ini. Jadi kita akan lihat harga barang di kedai runcit atau di supermarket akan naik sebanyak 10%,” katanya kepada FMT.
Dari segi penguatkuasaan 6% cukai perkhidmatan pula, beliau berkata ia tidak akan mengubah harga barang kerana harga perkhidmatan semasa GST juga tetap sama iaitu pada kadar 6%.
Beliau juga bimbang cukai 6% ini juga menyebabkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan akan memperoleh keuntungan lebih daripada langkah berkenaan.
Malah, katanya, selepas kerajaan mengumumkan GST dikenakan pada kadar 0%, harga barangan dan perkhidmatan tidak mengalami penurunan.
Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kadar SST akan dikuatkuasakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan, apabila rang undang-undang berkenaan cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.
Kata Lim, pengenalan semula SST, ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan, ia dijangka memberi hasil tambahan sebanyak RM14.4 bilion pada tahun ini.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata kerajaan juga dijangka akan kehilangan lebih RM20 bilion pendapatan setahun daripada hasil cukai tidak langsung dengan pelaksanaan SST.
Katanya, GST sebelum ini mengutip lebih RM42 bilion setahun.
“Dan ini perlu diganti dengan sumber lain dan kebetulan sumber yang dikenalpasti adalah kenaikan harga minyak mentah yang dapat menampung sebahagian daripada penurunan hasil cukai ini.” - FMT