Dewan Rakyat kecoh MP PH Enggan Ikut Ruling Speaker kabarmalay3.blogspot.com

Hari pertama sidang Dewan Rakyat berlaku kekecohan lebih 30 minit kerana ahli Parlimen pembangkang berang dengan wakil kerajaan yang didakwa menuduh Pemuda Umno samseng dan gengster.
Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mendesak Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) menarik balik dakwaan itu, tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Keadaan semakin tegang apabila Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mendakwa Ramkarpal yang sebenarnya ialah samseng.
“Macam mana saya nak tarik balik perkataan samseng, dia (Ramkarpal) memang samseng,” kata Bung Moktar.
“Bukit Gelugor tarik balik perkataan gengster, tuduh Pemuda Umno samseng,” kata Shamsul Anuar.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon kemudiannya meminta Ramkarpal manarik balik dakwaan itu.
“Saya tidak pernah panggil Pemuda Umno gengster. Saya tidak akan tarik balik,” kata Ramkarpal yang turut disokong RSN Rayer (DAP-Jelutong).
Beliau dan Datuk Seri Michael Asang (BN-Beluran) mendesak speaker Dewan Rakyat membuat ketetapan kerana berang dengan kedegilan Ramkarpal menarik balik dakwaannya.
Rashid meminta semua ahli Parlimen duduk dan memberi ruang kepada Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) untuk meneruskan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
“Sesiapa yang tidak duduk boleh keluar,” kata Rashid.
“Kalau Bukit Gelugor keluar, saya keluar,” kata Bung Moktar.
Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) meminta speaker membuat keputusan bagi mengelakkan kekecohan itu berterusan.
Johari kemudian bangun mempertahankan Rashid.
“(Anda) semua kawan-kawan saya, semua nak buli speaker sahaja, tahulah awak senior,” katanya merujuk tindakan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang mempersoalkan kegagalan Rashid mengawal keadana dalam Dewan Rakyat.
“Mana ada buli speaker,” jawab Noraini yang disusuli dengan teriakan “Rule of law” oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang.
Ismail yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat memetik Peraturan Mesyuarat 43 yang menyatakan keputusan speaker adalah muktamad.
Bagaimanapun, Bung Moktar yang masih tidak berpuas hati berkata: “Adakah ini namanya kerajaan baru?”
Rashid kemudiannya meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keputusannya supaya keluar dewan dan menangguhkan sidang Dewan Rakyat sehingga 2.30 petang nanti.
Beliau membuat keputusan itu selepas beberapa cubaan untuk menenangkan ahli Parlimen terbabit tidak diendahkan mereka. - FMT

Subscribe to receive free email updates: