[RCI FOREX] Musang ditembak, rusa yang kena kabarmalay3.blogspot.com



24 SEPTEMBER 2017

DI sana sini orang memakai istilah ‘nilai’. Ahli politik, ahli agama, ahli sukan malah pembohong dan pencuri pun suka menggunakan istilah ini untuk maksud berbunyi baik dan mencari kebenaran.

Suatu ketika dulu timbul persoalan hangat apabila nilai Islam hendak dijadikan pulur kehidupan rakyat Malaysia. 

Kehangatan ini tentunya datang daripada penganut bukan Islam dan tidak kurang juga daripada Muslim yang berfikiran sederhana dan terbuka. Ini kerana pada umumnya semua agama dan kepercayaan berasaskan nawaitu kebaikan.

Melakukan kejahatan dan keburukan rata-rata bukan ajaran-nya. Rogol, rompak dan tipu adalah larangan yang berdosa.

 Lalu dihujahkan lagi, apa yang dimaksudkan nilai Islam itu ialah nilai perdana seluruh kemanusiaan. Justeru, mereka yang bukan Muslim berhujah balik, kenapa tidak disebut saja Nilai Perdana. Dari itu polemik ‘nilai’ tidak berkembang. Ia pupus begitu saja di angin lalu. Tiada pihak yang berkecil hati.

Itu satu pengertian nilai yang tidak persis. Satu pengertian ‘nilai’ lagi ialah ukuran harga. "Nilai diri kita ini hanya RM50," kata seorang, apabila enggan menerima sogokan untuk mendapatkan undinya dalam suatu pemilihan dalam parti politik atau suatu badan. "Nilai tanah ini ialah RM5 sekaki," kata seorang lagi apabila hendak menjual tanahnya.

Bertolak dari situ, terdapat pula ungkapan pertentangan nilai. Jadi, apakah maksud ‘nilai’? Pengertiannya tidak lain daripada ‘sikap dan kemahuan’. Tidak hairanlah masing-masing pihak menggunakan pelbagai cara yang mungkin untuk meyakinkan pihak lain bahawa ‘sikap dan kemahuan’ masing-masing itu benar dan patut dianuti.

Dalam pentadbiran, salah satu cara penentuan sikap dan kemahuan itu ialah melalui RCI (Royal Commission of Inquiry) iaitu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja. Empat puluh tujuh tahun dulu Tun Dr Mahathir Mohamed menulis dalam bukunya The Malay Dilemma bahawa RCI memang bermaksud baik tetapi ia terbukti merugikan masa saja memandangkan lamanya badan itu hendak ditubuhkan. 

Setelah ditubuhkan ia mengambil masa lebih lama lagi untuk menyiasat dan membuat laporan.

Apabila selesai, perkara yang disiasati sudah ketinggalan waktu. Ramai yang menjadi pokok-pangkal sudah uzur dan meninggal, sedangkan pihak yang mengarahkan penubuhan RCI itu mungkin tidak berkuasa lagi.

Pihak lain pula yang jadi pengganti. Akhirnya RCI itu sia-sia saja, merugikan masa, wang, minda dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk maksud yang lebih produktif.

Berpindah kepada RCI Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlaku 25 tahun dulu. Rasanya kita tidak perlu berpengalaman lama untuk mengetahui bahawa ia bermaksud untuk menjejaskan reputasi PM Malaysia waktu penyangakan itu berlaku, iaitu Tun Dr Mahathir. RCI itu timbul dalam keadaan tegang akibat pertelagahan PM kini, DS Najib Tun Razak, dengan beliau, ekoran dari gejala 1MDB.

Apa yang Tun M dan Najib kata-mengata sudah diketahui umum. Jika diulang di sini, ia ibarat ‘sudah terang lagi bersuluh’. Kini, nyata sekali apa yang mampu dikorek oleh RCI ialah hasil kata-kata mereka yang menjadi saksi menurut apa yang mereka ingat.

Juruaudit Negara waktu itu, Tan Sri Ishak Tadin, sebagai contoh, tidak boleh berkata apa-apa kerana keuzurannya. Pelaku-pelaku utama, Tun Dr Mahathir, Tun Daim, DS Anwar Ibrahim, mantan eksekutif dan ahli lembaga pengarah BNM mengemukakan kata-kata mereka sendiri.

Selepas segalanya berlaku, nyata sekali penyangakan itu berpusar kepada Tan Sri Nor Yakcop, pegawai BNM yang secara langsung menangani penyangakan berpuluh bilion ringgit. Kini beliau sudah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, badan pelaburan rakyat yang paling besar.

Rata-rata orang percaya, Najib mengharapkan RCI itu akan membersihkan nama Nor secara muktamad tentang skandal jereguk BNM itu; sekali gus menyematkan kesalahannya kepada Tun Dr M yang kononnya menggunakan tangan ghaibnya mencetuskan skandal itu.

Alangkah bijaknya orang tua-tua kita mencipta pepatah ‘musang yang ditembak, rusa yang kena’. Ertinya, penembak tidak tahu apa yang ditembak walaupun dia mempunyai senapang yang baik.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

- SH

Subscribe to receive free email updates: