Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyampaikan ceramah pertamanya di Sarawak sejak keluar Umno, Ahad ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu bakal berucap di Kuching dalam program 'Tawaran Baru Harapan Baru' yang berkaitan manifesto HARAPAN di negeri itu.
Turut dijangka hadir adalah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Hatta RAmli dan pemimpin HARAPAN Sarawak, antaranya Chong Chieng Jen, Baru Bian dan Mohd Fidzuan Zaidi.
Pemimpin pembangkang dari Semenanjung Malaysia sering berhadapan masalah untuk masuk ke Sarawak, yang memiliki kuasa autonomi dalam soal imigresen negeri.
Namun, sumber dari pejabat ketua menteri Sarawak memaklumkan kepada Malaysiakini yang pemimpin HARAPAN termasuk Mahathir, Lim dan Hatta akan dibenarkan masuk untuk menyertai program itu.
Program Ahad ini akan diadakan di hadapan Pasaraya Everrise BDC bermula pukul 6.30 petang.
Setakat ini masih belum jelas apakah tawaran HARAPAN untuk Sarawak.
Namun, mereka dijangka akan menampilkan barisan kepimpinan yang lebih kuat dan bersatu, selepas pertelingkahan antara PKR dan DAP yang menjadi salah satu faktor prestasi buruk pakatan pembangkang dalam pilihan raya negeri pada 2016. - MK